Program TH Tak Gunakan Wang Rakyat – Azeez

11
0
SHARE

SANDAKAN: Peruntukan RM230 juta yang digunakan bagi Program Ziarah Kasih Ramadan Al-Mubarak Tabung Haji (TH) bukan menggunakan wang rakyat, sebaliknya daripada Yayasan Tabung Haji dengan kerjasama UMNO.

Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata program menjelajah ke 67 kawasan Parlimen itu adalah program mendekati rakyat untuk menyalurkan sumbangan sempena sambutan Aidilfitri.

“Peruntukan bagi program ini juga bukan duit pendeposit TH, sebaliknya kita melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat untuk membantu rakyat yang memerlukan dengan kerjasama UMNO.

“Daripada RM230 juta itu, setiap Parlimen akan menerima RM300,000 dan Sandakan adalah Parlimen ke-55 yang saya kunjungi,” katanya berucap pada program itu di Dewan Masyarakat, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Sandakan, Tan Sri Haji Ampong Puyon.

Pada majlis itu, Abdul Azeez menyampaikan sumbangan wang tunai  RM200 seorang kepada 1,500 penerima.

Selain daerah ini, program turut diadakan di Semporna hari ini.