Prinsip Kebersamaan Perlu Terus Subur Di Negara Ini – Zambry

146
0
SHARE

IPOH: Prinsip kebersamaan perlu terus menjadi pegangan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini untuk memastikan kesejahteraan yang dinikmati sekarang berkekalan, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata kegagalan mempertahankan prinsip tersebut mungkin akan membuka ruang kepada pihak tertentu untuk memanipulasinya sehingga boleh mengundang keruntuhan kepada negara.

“Jangan biarkan mana-mana pihak sama ada ‘kanan’ atau ‘kiri’ menggunakan perkara yang boleh membawa perpecahan dalam masyarakat kita,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baru Cina Dewan Perhimpunan Cina Perak di sini Jumaat.

Zambry berkata antara cara terbaik untuk memastikan prinsip kebersamaan itu terus subur di negara ini adalah dengan mengamalkan sikap terbuka dan sedia mendengar pandangan pihak lain.

Dalam konteks Perak, beliau berkata kebersamaan yang menjadi amalan telah berjaya membawa banyak pembangunan serta kemajuan kepada negeri itu.

Terdahulu Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Perak Datuk Chai Voi Keong menyatakan pihaknya mengambil pendirian untuk tidak menyebelahi mana-mana ekstremis kaum dan agama yang bertujuan menggugat perpaduan dalam negara.

Katanya pertubuhan yang menaungi 181 persatuan itu turut menyokong penuh prinsip kesederhanaan dalam usaha memerintah dan mentadbir sesebuah negara.

“Pada masa sama kami berharap dapat mengadakan sesi dialog dengan pihak kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan komunikaksi antara kedua-dua pihak,” katanya.