Potong PTPTN Jika Gaji RM4,000 Ke Atas – Rafizi

126
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menggesa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menghentikan amalan membuat potongan gaji maksimum bagi penjawat awam.

Rafizi berkata beliau menerima banyak aduan daripada peminjam mengenai sistem potongan itu dan mereka tidak diberi sebarang amaran mengenai jumlah gaji yang dipotong.

“Ini menyebabkan ada kakitangan kerajaan yang gajinya berbaki puluh-puluh ringgit setelah dibuat potongan maksimum oleh PTPTN.

“Sudah tentu tidak ada sesiapa di negara ini yang boleh menampung sara hidup dengan baki gaji puluhan ringgit apatah lagi dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi,” katanya pada kenyataan media.

Mengambil contoh amalan di Australia, Rafizi mencadangkan agar peminjam membayar balik pinjaman sekiranya gaji lebih tinggi dari paras tertentu bagi mengelakkan mereka dibebankan dengan hutang pendidikan.

“Saya mencadangkan supaya PTPTN merubah kembali peraturan agar bayaran pinjaman PTPTN hanya bermula selepas peminjam memperolehi gaji sebelum cukai sebanyak RM4,000 sebulan.

“Peminjam perlu mengemaskini butiran pekerjaan dan gaji yang disahkan oleh majikan setiap 6 bulan bagi memastikan mereka mula membayar secara potongan automatik mengikut jadual yang dipersetujui setelah gaji mereka mencecah RM4,000 sebulan,” katanya.

Katanya, sekiranya peminjam tidak mengemaskini butiran berkenaan, baru lah mereka wajar dikenakan tindakan undang-undang.

Sehubungan itu, Rafizi berkata beliau akan memfailkan satu usul di parlimen pada Mac depan dan akan bersama aktivis muda menubuhkan sebuah NGO untuk memperjuangkan nasib peminjam PTPTN dalam masa terdekat.