Politikus Pembangkang Tiada Prinsip? Rakyat Percaya…

228
0
SHARE

Oleh: AZMAN HUSSIN

APA yang anda fikirkan apabila melihat kecelaruan tindakan politik-politikus pembangkang hari ini?

Jika anda memerhatikan apa yang berlaku dalam dunia politik hari ini, anda sepatutnya boleh membuat kesimpulan mudah dan spontan bahawa politikus-politikus ini tidak boleh dipercayai. Prinsip dan pendirian mereka berubah-ubah sesuai dengan matlamat peribadi mereka.

Mereka hanya mempergunakan rakyat untuk kepentingan peribadi mereka. Masalah rakyat hanya dieksploitasi untuk meraih sokongan. Segala isu yang mereka timbulkan berkenaan salah laku atau penyelewengan pemimpin-pemimpin kerajaan hanyalah untuk tujuan-tujuan peribadi mereka.

Apa anda fikir apabila melihat Tun Dr Mahathir menjilat kembali ludahnya dengan berkomplot dengan Lim Kit Siang, musuh politiknya sejak dahulu? Berulangkali Tun Dr Mahathir menanamkan dalam minda rakyat Malaysia, terutamanya orang-orang Melayu, bahawa Lim Kit Siang rasis, pelampau perkauman.

Apabila beliau berkata sebaliknya hari ini, walaupun Lim Kit Siang tidak pernah berubah, beliau sebenarnya telah meludah mukanya sendiri.

Apa pula pendirian anda ke atas DAP yang boleh menerima Tun Dr Mahathir, yang selama ini didakwa sebagai pengamal kronisme, korup dan perompak negara? Bertahun-tahun Lim Kit Siang mendedahkan kejahatan dan kezaliman Dr Mahathir. Dengan panjang lebar, dalam buku, dalam ceramah-ceramah, bagaimana Lim Kit Siang meyakinkan kepada orang ramai bahawa tokoh bernama Mahathir Mohammad ini telah merosakkan negara dengan pelbagai skandal dan kehilangan wang negara berbilion-bilion.

Hari ini Lim Kit Siang telah berpatah balik menerima Tun Dr Mahathir dalam pakatan pembangkang.

Bagaimana pula reaksi anda apabila melihat tindakan Dato Seri Anwar Ibrahim memaafkan Tun Dr Mahathir? Adakah anda lupa yang bibit-bibit pergolakan politik negara hari ini bermula kerana permusuhan antara mereka? Rusuhan, demonstrasi dan huru-hara tercetus angkara permusuhan ini sejak tahun 1998. Malah parti PKR pimpinan Anwar Ibrahim juga lahir kerana perbalahan ini.

Apa yang anda nampak semua ini? Bukankah itu hipokrit? Apakah ucapan-ucapan mereka selama ini kepada rakyat hanyalah sandiwara dan hiburan? Bertahun-tahun lamanya rakyat bergaduh kerana perkara-perkara ini, tiba-tiba mereka boleh bertindak sebaliknya seolah-olah tuduhan-tuduhan lama itu hanya perkara kecil.

Tidak salah jika disimpulkan bahawa ahli-ahli politik pembangkang ini hanya memainkan isu-isu untuk menjatuhkan kerajaan. Mereka mengeksploitasi kelemahan dan keburukan pemimpin-pemimpin kerajaan semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan dan menaikkan diri mereka.

Memang ia adalah perkara normal, iaitu ahli-ahli politik mahukan kuasa. Sebaliknya, ahli-ahli politik pembangkang ini semata-mata mahukan kuasa, mereka bukannya berjuang untuk kebaikan rakyat. Kuasa yang mereka impikan adalah untuk diri mereka, bukan untuk melakukan kebaikan kepada rakyat. Ia perjuangan untuk diri mereka sendiri dengan memanipulasi kelemahan atau keburukan kerajaan.

Ramai yang keliru sebenarnya. Mereka hanya memusatkan perhatian mereka kepada kelemahan dan keburukan kerajaan, tetapi mereka tidak memberi perhatian kepada niat sebenar pembangkang. Jika kerajaan benar seperti yang dituduh, mereka tidak fikir apa pula niat pembangkang.

Jika mereka berjuang untuk keadilan dan kebaikan untuk negara, anda sepatutnya tidak akan melihat tiga tokoh negara ini berpakat.

Anda sepatutnya boleh berfikir, setelah melihat beberapa contoh tadi, apa sebenarnya perjuangan pembangkang.

Jika mereka menuduh kerajaan korup, sikap mereka sendiri adalah lebih teruk lagi, iaitu bertukar-tukar prinsip.

Dalam bahasa yang mudah, ahli-ahli politik pembangkang ini memanipulasi apa sahaja untuk menjatuhkan kerajaan. Mereka tidak peduli lagi sama ada ia boleh merosakkan negara ataupun tidak. Mereka mencipta fitnah, memutarbelitkan isu, menjemput kuasa asing dan menjerumuskan negara ke dalam huru-hara.

Jika mereka benar-benar mahukan kebaikan untuk negara, sudah tentu mereka tidak akan melakukan perkara tersebut.

Sepatutnya, dengan melihat perkara-perkara pelik dan tidak munasabah yang dilakukan oleh pakatan pembangkang hari ini, anda boleh menilai apakah matlamat perjuangan mereka itu.

Mari fikirkan pula keadaan ini. Siapakah yang menjadi musuh terkini ketiga-tiga politikus ini? Ya, Dato’ Sri Najib, Perdana Menteri Malaysia.

Bayangkan, bagaimana jika Dato’ Sri Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan setelah itu beliau turut mengkritik Perdana Menteri baru. Dalam erti kata lain, beliau turut menjadi sebahagian daripada politikus pembangkang.

Ia tidak mustahil, sebagaimana kita tidak pernah meramalkan Tun Dr Mahathir akan menjadi pembangkang dan menentang UMNO yang pernah dipimpinnya.

Saya katakan, kemungkinan “dosa-dosa” beliau sebagaimana Perdana Menteri sebagaimana dakwaan pembangkang akan dimaafkan. Ia terjadi seperti hari ini, iaitu Lim Kit Siang boleh membakar buku tulisan berkenaan penyelewengan Tun Dr Mahathir, Dato Sri Anwar boleh menerima Tun Dr Mahathir yang memasukkannya ke dalam penjara, dan Tun Dr Mahathir boleh menerima Lim Kit Siang yang dituduhnya rasis.

Jadi, jika keadaan ini berlaku, anda sepatutnya bertanya kepada diri anda sendiri: apa perjuangan pembangkang sebenarnya?

Anda mungkin boleh katakan apa yang saya timbulkan ini sekadar kemungkinan.

Saya tahu ia hanya kemungkinan, tetapi melihat kepada corak dan sikap pembangkang hari ini, keadaan ini tidak mustahil. Bahkan perkara ini telah lama berlaku, bukan setakat perdamaian antara Lim Kit Siang, Tun Dr Mahathir dan Dato Sri Anwar ini.

Ia telah lama berlaku sebelum ini apabila Dato Sri Anwar yang dituduh bermacam-macam dakwaan oleh pembangkang seperti peliwat dan perasuah, telah diterima oleh pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional. Malah beliau telah dijadikan ketua pembangkang, walaupun sebelum ini beliau antara musuh nombor satu pembangkang.

Itu semua kerana kegilaan pembangkang untuk berkuasa sehingga sanggup melakukan apa sahaja.

Dalam konteks yang lain, cuba fikirkan pula perkara ini: bagaimana dahulu DAP yang anti-Islam dan mahu menghapuskan hak-hak keistimewaan orang-orang melayu, boleh berpakat dengan parti yang begitu kontradiksi dengan mereka (PAS).

Apa yang jelas, mereka tiada prinsip dan cita-cita mereka hanyalah menumbangkan kerajaan dengan menggunakan segala cara walaupun ia boleh merosakkan negara.

Bagi rakyat yang berakal sihat, mereka sepatutnya faham bahawa mereka hanya dipergunakan oleh pembangkang semata-mata. Pembangkang tiada prinsip dan perjuangan yang jelas untuk kebaikan rakyat, melainkan hanya mahu mencapai cita-cita mereka menguasai negara ini demi kepentingan-kepentingan peribadi mereka. Mereka akan berbuat apa sahaja, berkata apa sahaja untuk meraih sokongan, sekali pun terpaksa menukar prinsip.

Perkara ini sebenarnya jelas di hadapan mata, bagaimana pembangkang tidak mempunyai perjuangan yang tetap, hanya saja anda yang tidak mahu menyedarinya.

Anda akan terus-terusan dikelirukan dan diperbodohkan oleh politikus-politikus pembangkang ini selagi anda tidak berfikir secara rasional dan terpedaya dengan kelicikan permainan, persepsi jahat direka oleh mereka.

SHARE
Previous articleJangan Berhimpun Di Padang Timur – KPN
Next articlePolis Tahan Zamihan Dipercayai Menghasut