Polis Tidak Akan Sokong Ganja Dibenarkan – KPN

1407
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Belum sampai masanya untuk Malaysia membenarkan penggunaan ganja di negara ini memandangkan penyalahgunaan dadah itu masih berlaku dalam kalangan remaja, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Khalid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga tidak akan sesekali menyokong idea berkenaan kerana ganja menjadi platform untuk penggunanya beralih kepada dadah yang lebih berbahaya.

“Pada pandangan kami belum sampai masanya lagi untuk sikap liberal kita ambil kerana kita tahu masih ramai anak muda menyalahgunakan ganja.

“Mereka gunakannya untuk platform berhijrah kepada dadah yang lebih keras. Ia juga menyalahi agama, bukan Islam saja. Semua agama tidak benarkan umatnya berada dalam keadaan khayal,” kata Khalid kepada pemberita, selepas program pemakaian pangkat pegawai di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

“Kita tidak menyokong. PDRM tidak sesekali menyokong, malah membantahnya, pemilikan dan penggunaan ganja.”

Beliau bagaimanapun berkata, sekiranya benar terdapat bukti penggunaan ganja untuk perubatan, ia seharusnya digunakan di bawah seliaan pegawai perubatan.

“Kalau betul ia perlu untuk perubatan, penggunaanya perlu di bawah kawal selia. Bukan boleh digunakan sewenang-wenangnya, perlu dengan nasihat pegawai perubatan.

“Morfin pun digunakan untuk perubatan, tapi dengan kawalan ketat. Kalau benar ganja ada kualiti perubatan mesti dibuat dengan betul,” katanya kepada pemberita.