Polis Soal Siasat Tun M

667
0
SHARE
KUALA LUMPUR: Polis menyoal siasat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan berbaur fitnah yang dikeluarkan ketika perhimpunan Bersih 4 pada Ogos lalu.

Memetik laporan sebuah portal berita bahasa Inggeris, seorang pembantu kepada Dr Mahathir berkata polis merekodkan kenyataan beliau di pejabatnya di Yayasan Albukhary, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 11 pagi.

Sebuah kenderaan polis bersama tiga pegawai dilihat berada di perkarangan pejabat tersebut kira-kira pukul 10.40 pagi, dipercayai mengambil keterangan Dr Mahathir.

Menurut laporan, polis menyiasat Dr Mahathir berhubung kenyataan yang dibuat semasa di Pasar Seni ketika perhimpunan Bersih 4 pada Ogos lalu.

Antara kenyataan yang dibuat adalah pemimpin Umno didakwa menerima rasuah.

Pada 3 November lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Dr Mahathir bukan disiasat berhubung kehadirannya pada perhimpunan Bersih 4 tetapi kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

Beliau berkata Dr Mahathir menetapkan hari ini (Jumaat) sebagai tarikh tentatif tetapi ia bergantung kepada masa peguamnya.