Polis Nafikan Pengurus Beri Kebenaran Ambil Produk Vico Yang Kemalangan

677
0
SHARE

Oleh: Shaiful Nizam

KUALA SELANGOR: Insiden orang ramai mengambil stok produk minuman Vico daripada lori yang terbalik berdekatan Kuala Selangor semalam yang menjadi viral sejak pagi tadi mencetuskan perdebatan di laman sosial sama ada ianya dibenarkan atau tidak oleh pemiliknya.

Pertikaian tersebut menjadi semakin hangat apabila sebuah portal berita akhbar arus perdana memetik sumber polis mendakwa penduduk berbuat demikian atas keizinan daripada pengurus syarikat berkenaan.

“Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ruslan Abdullah, sebenarnya orang ramai membawa balik produk tersebut selepas mendapat kebenaran dari pengurus syarikat treler tersebut memandangkan kebanyakan bungkusannya sudah rosak dan serta tidak boleh dijual,’ petik laporan berita berkenaan yang turut diviralkan oleh sebuah laman sosial popular sehingga menyebabkan pengguna maya terus menghentam pengguna lain yang berkongsi berita tersebut sejak pagi tadi.

Wartawan MySuara yang kemudian menghubungi Ruslan mendapati bahawa berita berkenaan adalah tersalah lapor apabila beliau memberitahu bahawa polis sekadar mengesahkan kejadian kemalangan yang berlaku jam 5.15 pagi di Kilometer 37.5 Jalan Teluk Intan menghala ke Klang.

“Bukan saya yang mengesahkan pengurus bagi atau tidak bagi (kebenaran untuk ambil). Saya tidak pernah tulis dan tidak pernah sebut. (Laporan) Itu tidak betul,” jelasnya yang terkejut dengan laporan berkenaan ketika dihubungi oleh wartawan MySuara melalui telefon malam tadi.

Menurutnya lagi wartawan media arus perdana berkenaan tidak menghubunginya secara langsung sebaliknya hanya mengambil fakta kemalangan daripada perkongsian laman media polis sahaja.

“Manusia biasalah kalau orang lihat benda berterabur, sesiapan pun akan ambil,” tambahnya yang berharap pada masa-masa akan datang masyarakat akan lebih prihatin kepada mangsa-mangsa kemalangan.

Kejadian tersebut mulanya menjadi viral hasil perkongsian Mohamad Fariduddin di laman kumpulan Truckers & Snaper (Malaysia Brand). MySuara kemudian menghubungi syarikat Krian Lorry Transport Sdn Bhd dan mendapatkan kesahihan kejadian tersebut.

“Tidak benar! Kami tidak mengizinkan orang ramai ambil barangan pelanggan kami yang terjatuh ketika kemalangan semalam. Ini sikap yang tidak baik,” jelas Pengurusnya yang mahu dikenali sebagai Ong dengan sedikit pelat.

Malah tambahnya apabila pemandu dan kelindan dikejarkan ke hospital, orang ramai masih terus mengambil produk berkenaan tanpa rasa bersalah walau pun beberapa anggota polis trafik tiba untuk mengawal lalu lintas dan melarang orang ramai berbuat demikian.