Polis Kaji Laporan PAC – KPN

132
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengkaji semula Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebelum membuat keputusan sama ada terdapat keperluan untuk memanggil bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi untuk siasatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata polis kini dalam proses mengkaji laporan itu untuk tindakan susulan.

“Terdapat 106 muka surat dalam laporan itu…kami memerlukan masa. Kami akan membuat kenyataan apabila sudah bersedia,” katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini sebentar tadi.

Ditanya sama ada pihaknya akan memanggil Shahrol bagi membantu siastan, Khalid berkata ia akan diputuskan selepas mereka selesai mengkaji laporan itu.

Khamis lalu, PAC yang dianggotai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, mengeluarkan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB setebal 106 muka surat itu.

PAC antara lain mengesyorkan pihak berkuasa supaya menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, dan pihak berkaitan dengan pengurusan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.