Polis Belum Terima Maklumat Terbaharu Kes Culik

91
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Polis Malaysia dan Filipina masih belum menerima sebarang maklumat daripada kumpulan yang menculik empat rakyat tempatan di kawasan perairan berhampiran Pulau Ligitan, Semporna, Sabah, Jumaat lepas.

“Tiada (perkembangan terbaru),” kata Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp ketika ditanya mengenai situasi terkini kes itu, Isnin.

Sementara itu, jurucakap Polis Kebangsaan Filipina (PNP), ketika dihubungi berkata mereka juga belum menerima sebarang laporan terbaru berhubung insiden penculikan itu.

Dalam kejadian pada pukul 6.15 petang itu, empat anak kapal tunda warga Malaysia diculik sekumpulan lapan lelaki bersenjata ketika mereka dalam perjalanan pulang ke tanah air dari Manila.

Empat lelaki yang berasal dari Sibu, Sarawak itu ialah Wong Teck Kang, 31, Wong Hung Sing, 34, Wong Teck Chii, 29, dan Johny Lau Jung Hien, 21.

Kesemua rakyat Malaysia itu adalah sebahagian daripada sembilan kru bot  tunda berkenaan. Lima kru lain yang terdiri daripada rakyat Indonesia dan Myanmar telah dilepaskan oleh kumpulan penculik itu.