Polis Akan Pantau Himpunan 27 Mac – KPN

138
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Polis akan pantau himpunan anjuran bekas menteri Zaid Ibrahim pada 27 Mac depan meskipun ia dilakukan secara tertutup, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau memberitahu FMT bahawa anggota polis akan ditempatkan di kawasan yang akan dikenalpasti bagi memastikan tiada huru-hara berlaku. Polis juga akan memantau ucapan yang dibuat dalam himpunan itu nanti untuk sebarang unsur hasutan.

“Ya, sudah tentu kita akan pantau,” tambahnya dalam satu pesanan ringkas malam tadi.

Zaid sebelum ini berkata himpunan itu merupakan perjumpaan 1,000 peserta daripada pelbagai parti politik, pemimpin siswa dan ahli persatuan awam. Kehadiran melalui jemputan sahaja.

Nama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tiada dalam senarai jemputan dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan minat untuk turut serta.

Diminta mengulas kenyataan KPN, Zaid menjawab ringkas, “Beliau boleh melakukan apa sahaja yang beliau mahu, tapi beliau tidak akan berjaya menakutkan kami.”

Zaid dalam blognya memaklumkan satu himpunan akan diadakan bulan depan atas sebab Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meleraikan institusi awam dengan melantik “pak angguk” dalam badan-badan kerajaan.

Beliau menggesa rakyat Malaysia supaya bersama usaha Dr Mahathir mendesak Najib meletak jawatan daripada tampuk pemerintahan.