PM Ajak Hayati Sifat Wasatiyah

40
0
SHARE

Oleh: Khizairi Khizan

Foto: Shaiful Nizam

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sifat wasatiyyah (kesederhanaan) sangat penting kerana ia merupakan aspek yang seimbang dan terbaik bagi mana-mana masyarakat.

Beliau menyifatkan hanya melalui pendekatan wasatiyyah masyarakat dapat dibendung daripada terjebak dengan liberalisme dan ekstremisme yang merupakan ancaman utama kepada mana-mana agama.

“Tanpa wasatiyyah, masyarakat akan mudah terjebak ke dalam ekstremisme yang mengakibatkan radikalisme seperti IS (Islamic States), atau ekstremisme yang akan mengancam agama seperti liberalisme dan ekstremisme,” katanya semasa berucap merasmikan Seminar Antarabangsa Agama dan Keharmonian Hidup Bersama di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) di Kuala Lumpur, petang ini.

Turut hadir pada majlis itu, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Najib berkata, jika konsep itu dihayati dan menjadi asas dalam kehidupan masyarakat, agama mampu menjadi jambatan yang diperlukan dalam dunia hari ini.

“Ia membawa mesej berlaku baik, ketabahan dan keadilan, selain menolak semua bentuk kejahatan, saya yakin agama boleh membina jambatan yang kita perlukan dalam dunia hari ini,” katanya.