PKR Selangor Mahu Chegubard Dihukum

570
0
SHARE

Oleh: Khizairi Khizan

PETALING JAYA: Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor mahu tindakan dikenakan ke atas bekas Ketua Pemuda PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard kerana cuba memecahbelahkan parti dan menyerang kepimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Setiausaha MPN Selangor Borhan Aman Shah berkata, Chegubard sepatutnya membawa dakwaan beliau ke peringkat kepimpinan parti terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan terhadap Azmin.

“MPN serahkan kepada pimpinan pusat untuk ambil tindakan disiplin kepada anggota yang berniat memecahbelahkan perpaduan anggota parti dengan menyuarakan ketidakpuasan hati tanpa menggunakan saluran yang betul dan maklumat yang tepat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Semalam, Chegubard bersama beberapa pimpinan cabang PKR di Selangor mengadakan sidang media yang mendakwa Azmin tidak telus dan tidak menghormati akar umbi parti dalam pemilihan 288 ahli majlis PBT di negeri berkenaan.

Chegubard berkata Azmin membelakangkan cadangan ahli majlis daripada cabang tertentu di Selangor dan garis panduan oleh Pekeliling Setiasusahaha Kerajaan Negeri Selangotr yang dikeluarkan pada 2013.

“Pihak MPN Selangor merasa amat kesal sekali dengan beliau kerana menimbulkan kekeliruan di atas perkara tersebut, kerana isu tersebut telah diselesaikan secara konsensus dengan ketua cabang negeri Selangor, ini menggambarkan beliau tidak mendapat maklumat yang betul, dan sahih.

“Beliau membuat komen hanya mendengar satu pihak sahaja tanpa mendengar pihak kami sebagai pentadbir yang melaksanakan proses pemilihan untuk beri penjelasan,” katanya.

Malah Timbalan Ketua AMK Selangor Zainul Abidin Mohamed turut meminta agar keras siasatan yang dikemukakan AMK Selangor terhadap Chegubard tahun lalu dibuka semula.

“AMK Selangor telah mencadangkan kepada pimpinan utama PKR supaya Chegubard ini digugurkan keahliannya kerana kita tidak mahu sedikit kudis daripada beliau akan menjadi barah kepada PKR,” cadang Zainul.