PKR Sedia Bersama Muhyiddin Gembleng Rakyat – Azmin

101
0
SHARE

PETALING JAYA: Masa telah tiba buat semua parti politik, organisasi masyarakat madani, pemimpin dan individu untuk bersatu sebagai rakyat yang prihatin demi tujuan yang lebih besar, kata PKR.

Menyusuli penggantungan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO serta pengisytiharaan ‘perang’ oleh pemberontak parti Melayu itu terhadap Majlis Tertinggi mereka semalam, hari ini gendang perang dipalu Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kita mesti bangkit di atas perbezaan dengan kesatuan hasrat mengambil-alih tampuk kepimpinan negara yang lemah,” kata beliau kepada FMT.

Azmin merujuk kepada skandal kewangan, kegagalan institusi negara, serta sekatan hak dan kebebasan yang menurut beliau telah membungkam nilai bersama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

PKR menyambut kenyataan tokoh politik Johor itu hari ini yang mendesak reformasi institusi negara sebagai titik perubahan untuk negara.

“Seperti mana Tan Sri Muhyiddin, hasrat dan cita-cita rakyat juga untuk merealisasikan sebuah Kerajaan yang adil, amanah dan jujur,” kata Azmin, yang juga Menteri Besar Selangor.

PKR menyeru semua pihak supaya merebut saat ini untuk berikhtiar mengembalikan negara di atas jalan yang betul.

“Mereka tidak wajar menderita dengan ketidakadilan yang berlaku di tangan pemimpin yang menyalahgunakan kuasa. Rakyat berhak mendapat kehidupan yang lebih baik.” – FMT