PKR Jumpa DAP Menjelang Rundingan Meja Bulat Esok

178
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Menjelang rundingan meja bulat antara parti pembangkang esok, PKR mengumumkan akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan DAP terlebih dahulu.

Ketua Pembangkang Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pertemuan tertutup yang berlaku hari ini membincangkan beberapa perkara penting dalam hala tuju Pakatan Rakyat 2.0.

“Kami mengadakan pertemuan dengan pimpinan DAP sebentar tadi untuk membincangkan beberapa perkara penting termasuklah hala tuju perjuangan berasaskan prinsip yang dipersetujui bersama.

“Kami turut membincangkan mengenai rundingan meja bulat ke arah pembentukan pakatan pembangkang baru yang bakal diadakan hari esok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Wan Azizah berkata pertemuan dengan DAP itu diwakili Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Naib Pengerusi DAP Teresa Kok dan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong dalam satu mesyuarat tertutup pada hari ini.

Beliau juga berkata rundingan esok selain kepimpinan parti pembangkang, ia turut dihadiri kepimpinan pertubuhan bukan kerajaan serta tokoh-tokoh lain.‎

“Saya yakin rundingan pada hari esok akan membina sebuah muafakat politik baru yang lebih kuat sejajar dengan harapan rakyat yang mengimpikan sebuah pakatan pembangkang yang teguh dan harmoni seterusnya mampu menewaskan Umno/Barisan Nasional.”

PKR sebelum ini mengumumkan akan mengadakan rundingan meja bulat antara parti pembangkang termasuk PAS.

Malah Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali minggu lalu turut menyatakan akan terus memujuk PAS untuk berbincang meskipun presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan tidak mungkin bekerjasama dengan Amanah.

Bagaimanapun Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan juga menolak idea parti Islam itu akan menyertai rundingan yang diketuai oleh PKR.- INSIDER