PKR Desak Najib Ke Mahkamah Jawab Skandal 1MDB, RM2.6b

124
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Sekiranya tiada isu berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion yang perlu disorok, maka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seharusnya boleh menjawab skandal itu di mahkamah.

Malah, Parti Keadilan Rakyat sedang berusaha untuk memasukkan Najib ke dalam kandang saksi melalui penghujahan peguam Tommy Thomas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada Isnin.

“Penghujahan peguam Tommy Thomas hari ini (Isnin) jelas mendesak kehadiran Perdana Menteri di Mahkamah, untuk disoal balas supaya rakyat amnya aman tenteram dalam menyedari Perdana Menteri mereka tidak terus terprasangka dengan kemelut 1MDB serta penerimaan derma USD 700 juta (RM2.6 bilion) yang alasannya berubah mengikut zaman,” menurut satu kenyataan akhbar bersama dua Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua.

Pada 12 Ogos lalu, PKR memfailkan saman terhadap Najib atas dakwaan melanggar undang-undang pilihan raya susulan pendedahan The Wall Street Journal (WSJ) yang mengesan penyaluran sejumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.

WSJ mendakwa RM2.6 bilion itu daripada syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Saman itu bagi membatalkan keputusan kerusi yang dimenangi UMNO-BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, kerana dikatakan berbelanja melebihi had yang dibenarkan iaitu RM100,000 bagi calon Dewan Undangan Negeri dan RM200,000 bagi calon Parlimen.

“Adakah sejumlah RM2.6 billion yang diterima digunakan oleh Najib dan BN dalam PRU13 adalah bertentangan dengan Seksyen 19, Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, yang cuma membenarkan Najib dan BN membelanjakan Rm94.7 juta sahaja?” soal PKR dalam afidavit yang difailkan pada 9 Disember lalu.

Najib dalam satu ucapannya semasa Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini akui RM2.6 bilion itu bertujuan membantu UMNO terus berkuasa.

Untuk makluman, PKR menamakan tiga lagi defendan – Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selaku pemegang amanah BN, 1MDB dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) – dalam saman mereka.

PKR juga telah memfailkan 4 permohonan berbeza untuk mendedahkan dokumen-dokumen berkaitan dalam mahkamah seperti penyata bank, cek dan resit bagi membantu menyelesaikan saman itu.

Dalam perkembangan seterusnya, peguam mewakili Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman itu.

Beliau berkata demikian dalam prosiding mendengar permohonan Najib untuk membatalkan saman PKR itu.

Menurut Hafarizam, mahkamah sivil atas sifatnya tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan deklarasi yang bersifat jenayah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menetapkan 21 Januari depan untuk membuat keputusan. – FMT

SHARE
Previous articleLiong Sik Saman Balas Najib
Next articleSektor Swasta Main Peranan Penting Dalam Strategi Pertumbuhan Hijau – Zahid