PKR Cadang DEIG Beroperasi Seperti Badan Berkanun

130
0
SHARE

Setiausaha agung PKR Rafizi Ramli mencadangkan kepada Selangor agar entiti baru perniagaan negeri itu, Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG), beroperasi seperti sebuah badan berkanun.

Katanya, perkara itu sudah dikemukakan kepada pihak berkenaan, sambil menambah ia boleh dilakukan walaupun DEIG adalah syarikat sendirian berhad.

Katanya, operasi badan berkanun akan memastikan kewujudan panel bebas seperti panel penasihat pelaburan yang tidak perlu menjawab kepada pengurusan tertinggi DEIG.

“PKR kini berada pada peringkat di mana saya melontarkan beberapa idea bagaimana DEIG boleh diperkukuhkan dan diharapkan berdasarkan pengalaman sebelum ini, kita pastikan semua proses tata kelola ini wujud sebelum DEIG beroperasi.

“Ia akan memastikan semak dan imbang wujud bagi menghapuskan kebimbangan orang ramai,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Mengakui penubuhan DEIG sememangnya diketahui parti, ahli Parlimen Pandan yang juga naib presiden parti itu berkata, PKR dan Selangor wajar membuktikan yang pentadbiran mereka jauh lebih baik berbanding kerajaan persekutuan.

“Ini termasuklah mewujudkan tata kelola yang bebas dalam syarikat itu, bukan sahaja pada peringkat lembaga pengarah tetapi juga di peringkat pengurusan dan pelaburan,” katanya lagi.

DEIG dijadualkan mula beroperasi tahun depan, menguruskan pelaburan 12 anak syarikat kerajaan negeri termasuk Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Yayasan Selangor, Kumpulan Perangsang dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).