Pintu Rundingan Sentiasa Terbuka – Najib

255
0
SHARE

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak pernah menutup pintu kerjasama dan rundingan dengan mana-mana individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahu pun parti politik demi mencapai persefahaman antara umat Islam, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga tidak pernah mengenakan apa-apa syarat untuk pintu kerjasama kerana kepentingan umat dan rakyat sentiasa diutamakan berbanding kepentingan kelompok tertentu.

“Apabila kita menutup pintu-pintu persefahaman dan rundingan demi kepentingan ummah, akhirnya kita akan menjadi bagai nasib Pak Pandir, ‘menang sorak, kampung tergadai’.

“Sudah pasti yang akan tergadai ini bukan sekadar kampung halaman dan tanah air, tetapi agama jua akhirnya yang menjadi taruhan.

“Sebab itulah, Islam amat menuntut pendekatan wasatiyah di dalam segenap aspek kehidupan, daripada amalan beragama, hinggalah kepada hubungan individu dengan seluruh masyarakat,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-59 di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Najib berkata, wasatiyah dimaksudkan sebagai kedudukan paling unggul merangkumi kesederhanaan, saling menghormati dan sikap penerimaan dalam berinteraksi selain saling memahami realiti perbezaan serta menjaga batas-batas sensitiviti dan sempadan antara agama dan budaya.

Katanya, kerajaan melihat perkara terbabit sebagai elemen yang amat penting demi mengekalkan keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum yang menjadi tanggungjawab bersama semua pihak.

“Hikmahnya amat besar, kerana manfaatnya akan dinikmati bukan sahaja oleh umat Islam bahkan seluruh anggota masyarakat, sesuai dengan kemuliaan agama Islam sebagai agama perpaduan dan keamanan,” katanya.