Petronas Kurangkan Perbelanjaan RM50 Billion Dalam Tempoh 4 Tahun

435
0
SHARE

KUALA LUMPUR: PETRONAS akan melaksanakan satu lagi pusingan kajian semula bagi perbelanjaan modal (CAPEX) dan perbelanjaan operasinya (OPEX) dengan menyasarkan untuk mengurangkan hingga RM50 bilion dalam tempoh empat tahun.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, dalam satu surat dalaman kepada kakitangan PETRONAS berkata, kenyataan itu dibuat bertujuan bersikap telus dan terbuka bagi menyatukan pasukan menempuh tempoh paling mencabar, lapor BH Online.

Katanya, langkah lanjutan penjimatan itu bermakna pihaknya akan menangguhkan lagi beberapa projeknya serta membuat keputusan strategik memulakan kajian semula model operasi perniagaan PETRONAS bagi meningkatkan kecekapan bertindak balas terhadap persekitaran luar.

Beliau berkata, kajian semula itu akan membabitkan penstrukturan semula organisasi sedia ada gergasi minyak dan gas itu yang mana butiran lanjutnya akan diumumkan pada Mac kelak.

“Atas kebimbangan yang disuarakan ramai pekerja terhadap jaminan pekerjaan, maka sejujurnya sahabat, dan rakan sekerja, kita tidak boleh lari daripada realiti yang situasinya semakin meningkat.

“Brent kini didagangkan pada AS$28 setong pada Jumaat dan terus menurun. Tiada tanda-tanda ia akan pulih. PETRONAS sudah bertindak balas pantas ketika mengesan petanda awalnya dengan mengurangkan CAPEX dan OPEX , memulakan Project Cactus.

“Namun kini kita berada di tahap semua langkah awal itu tidak cukup menyerap impak kejatuhan ketara dan berterusan harga minyak.

“Kita tidak bermaksud berhenti melaksanakan Project Cactus, tapi lebih bermakna kita perlu serius mempertimbangkan keputusan drastik dan sukar,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada peringkat ini pihaknya tidak dapat melihat bagaimana struktur baharu akan memberi kesan kepada tenaga kerja, namun pihaknya akan mengkaji semua kebarangkalian mencapai keseimbangan antara kebajikan pekerja dan manfaat perniagaan.

Katanya, pada masa sama pihaknya turut mengkaji kedudukan kontrak yang akan memberi kesan kepada kontrak tidak kritikal kepada aktiviti perniagaan teras PETRONAS.

“Setakat ini, kajian bagi kedudukan yang diisi oleh kontraktor pembekalan tenaga kerja turut sedang dilaksanakan sebagai langkah awal mengurangkan kos tenaga kerja.

“Saya tidak berupaya memberi jaminan semuanya akan menjadi baik, namun saya memberikan komitmen saya dan pasukan kepimpinan akan terus berkongsi maklumat segala pembangunan ini secara berterusan,” katanya, lapor akhbar itu.