Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka Dilapor Diserang Di KLIA

59
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia, I. Ansar dilaporkan diserang oleh kumpulan kecil di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.

Kementerian Luar negara itu, dalam satu kenyataan di laman webnya, mengutuk serangan ke atas Pesuruhjaya Tinggi.

“Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka di Kuala Lumpur bekerjasama dengan pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang tempatan di Malaysia dan pihak berkuasa tempatan berkaitan yang lain bagi mengenal pasti pelaku dan membantu siasatan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, portal berita Sri Lanka, Hiru News melaporkan bahawa Pesuruhjaya Tinggi tersebut diserang di lapangan terbang selepas menghantar Menteri Perusahaan Utama negara itu, Daya Gamage, yang berada di Malaysia sempena Persidangan Antarabangsa Parti Politik Asia (ICAPP).

Ketika berita ini ditulis, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum mengesahkan mengenai insiden berkenaan.

Bekas Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa turut berada di Malaysia bagi menghadiri persidangan tersebut.