Pesta Arak Bukan Budaya Malaysia – Nazri

12
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Penganjurkan pesta arak tidak pernah menjadi budaya Malaysia dan tidak sekali-kali menjadi sebahagian daripada budaya kebangsaan, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata, dasar Kebudayaan kebangsaan yang digubal pada 1971 menggariskan antara lain bahawa kebudayaan kebangsaan mestilah berasaskan kepada budaya penduduk pribumi rantau ini dan Islam sebagai komponen penting dalam penggubalan dasar itu.

“Tolong faham, jangan fikir kami mengharamkan semua ini kerana kami adalah negara Islam tetapi ia bukan budaya kami, sama ada kami orang Melayu, Cina, India, Kadazan atau Iban untuk mengadakan pesta arak besar-besaran,” kata beliau pada Siri Kuliah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) di sini, Khamis.

Mohamed Nazri berkata keadaan berbeza, misalnya di Jerman atau Bavaria kerana kedua-dua negara tersebut adalah negara yang penduduknya minum arak dan juga negara negara pengeluar arak.

“Mereka boleh mengadakan “Octoberfest” kerana mahu mempromosikan arak keluaran mereka, mereka adalah negara yang penduduknya minum arak dan negara pengeluar arak tetapi di negara ini, kita tidak mengeluarkan arak,” kata beliau.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa pengharaman pesta itu tidak bermakna bahawa minum arak tidak dibenarkan sama sekali di negara ini.

“Mereka boleh minum arak di pub, kerana boleh mengawal orang ramai sekiranya seseorang terangsang dan mabuk tetapi untuk menganjurkan pesta itu yang kita tidak dapat mengawal orang ramai, mungkin akan berlaku pergaduhan, sesetengah pengunjung mabuk dan tidak tahu apa yang mereka katakan,” katanya.