Pertemuan Tun M-Anwar Cuma Permulaan – Azmin

172
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pertemuan mengejutkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dianggap permulaan ke arah “perpaduan umat” dan pengukuhan parti-parti pembangkang sebagai persiapan untuk pilihan raya umum ke-14.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali berkata, kedua-dua pihak semalam sempat berbincang secara tertutup lebih 30 minit beberapa itu, termask isuu perundangan, ditemani beliau dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

“Pertemuan ini membuktikan kedua tokoh memiliki jiwa besar tatkala negara berdepan dengan krisis kepimpinan dan memerlukan satu hala tuju untuk menyelamatkan negara dan memulihkan ekonomi.

“Seperti yang disebut oleh Datuk Seri Anwar di mahkamah, kehadiran Dr Mahathir membuktikan bahawa beliau bersedia menerima agenda reformasi,” kata Azmin yang juga timbalan presiden PKR.

Anwar yang hadir ke mahkamah bagi memfailkan injunksi bagi menghalang pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016, semalam dikejutkan dengan kehadiran Mahathir, seteru politiknya hampir dua dekad yang kini bersama menentang pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Bekas mentor dan anak didiknya yang kemudian menjadi seteru politik itu malah bertegur sapa, berbalas senyuman dan bersalaman antara satu sama lain.

Mahathir memecat Anwar pada September 1998 atas dakwaan penglibatan dalam kes liwat, yang kemudian mencetuskan gerakan reformasi dan perpecahan dalaman Umno, sekali gus mengubah landskap politik negara.

Selepas Anwar dimasukkan dalam penjara selepas disabitkan kes Liwat II, Mahathir memainkan peranan penting sebagai pengkritik utama Najib.

Mahathir, kini penasihat serpihan Umno Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), malah mengimpikan pembentukan sebuah gabungan pembangkang besar.

Dalam kenyataannya hari ini, Azmin juga berkata belau dan Malaysia gembira menyaksikan Anwar dan Dr Mahathir bertemu kembali setelah 18 tahun.

“Apa yang disaksikan oleh dunia pada saat itu adalah bukan sekadar dua insan bersalaman tetapi dua negarawan yang sanggup mengenepikan perbezaan dan kegetiran masa lampau demi masa depan negara dan rakyat Malaysia yang lebih terjamin,” katanya. – MK