Persidangan Dewan Negara Ditangguh Hingga Tahun Depan

36
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-13 Dewan Negara yang bersidang sejak 7 Disember lepas, ditangguhkan malam tadi sehingga ke suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian pada tahun depan.

Sepanjang persidangan selama 15 hari itu, beberapa rang undang-undang (RUU) diluluskan termasuk yang mendapat perhatian dan hangat dibahaskan; RUU Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 dan RUU Perbekalan 2016.

RUU Perbekalan 2016 bertujuan memperuntukkan RM267.22 bilion untuk perbelanjaan kerajaan tahun depan, manakala RUU MKN memperuntukkan 15 kuasa khas kepada Pengarah Operasi dan pasukan keselamatan bagi mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara.

RUU lain termasuk RUU Kewangan 2015, RUU Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2015, RUU Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2015 dan RUU Profesion Kesihatan Bersekutu 2015.

RUU Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2009 bertujuan memasukkan bahagian yang memberi kuasa kepada Perbadanan bagi memperuntukkan insurans penstabilan.

RUU Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2015 bertujuan membolehkan pencarum KWSP membuat pilihan supaya kesemua amaun yang ada dalam kredit akaunnya diuruskan dan dilaburkan mengikut syariah.

Bagi RUU Profesion Kesihatan Bersekutu 2015 pula, ia merupakan akta terpakai bagi mengawal selia Profesion Kesihatan Bersekutu yang menyenaraikan 23 profesion dalam kesihatan bersekutu.

RUU Kewangan 2015 pula menyentuh pindaan-pindaan terhadap Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990, Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 dan Akta Penggalakan Pelaburan 1986.

Turut diluluskan adalah RUU Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2015 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 3 Dis lepas, melibatkan beberapa pindaan termasuk pindaan Seksyen 6 (2) yang mana keanggotaan Gabenor Bank Negara atau Timbalannya digugurkan daripada panel pelaburannya.

Sewaktu persidangan berlangsung, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang menempelak Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia (Hakam) Datuk S. Ambiga kerana sewenang-wenangnya menggunakan kemudahan di bangunan Parlimen tanpa kebenarannya.

Abu Zahar turut menafikan laporan sebuah akhbar yang mendakwa hanya enam senator hadir dalam satu sesi perbahasan di Dewan Negara, dan menyifatkan berita tersebut mengelirukan serta mencemarkan nama baik institusi perundangan negara itu.