Persiapan Masuk Sekolah Makin Mahal Lepas GST

180
0
SHARE

Namun, rata-rata di kalangan ibu bapa mula mengeluh, apabila barangan keperluan sekolah meningkat 10 ke 15 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pelbagai rungutan kedengaran di kalangan ibu bapa apabila kenaikan harga barangan amat membebankan, terutamanya kepada mereka yang berpendapatan rendah dan mempunyai ramai anak bersekolah.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, sebagai alternatif ramai di kalangan ibu bapa memilih pasar raya kecil yang menawarkan harga jauh lebih berpatutan untuk mendapatkan barangan keperluan sekolah.

Di saat akhir sebegini, harga yang ditawarkan lebih berpatutan dan menjadi pilihan ibu bapa berbelanja dengan berhemah.

Namun, apa yang dapat dilihat di kebanyakan pasar raya, berlaku peningkatan harga sebanyak RM2 hingga RM5 berbanding tahun lalu.

Pakaian seragam sekolah menengah bagi pelajar perempuan adalah sekitar RM70, manakala bagi pelajar lelaki pula sekitar RM80. Bagaimanapun ia bergantung kepada jenama dan kualiti pakaian yang dibeli.

Bagi Saliah Razali, 39, seorang suri rumah, harga keperluan sekolah terutamanya pakaian agak meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Hanya mengharapkan  pendapatan suami sebagai pemandu lori, Saliah runsing apatah lagi terpaksa menyediakan keperluan sekolah untuk tiga anaknya.

Ujarnya, gaji suami sekitar RM2,000 sebulan dan dirinya tidak bekerja, agak membebankan.

“Saya hanya mampu belikan dua pasang seorang untuk  dua orang anak bersekolah menengah dan seorang sekolah rendah. Ini baru pakaian, belum lagi barangan lain seperti beg, alat tulis dan buku,” katanya.

Beliau berkata, dengan kos semakin meningkat, ibu bapa sepertinya terpaksa berbelanja lebih daripada kebiasaan.

Sementara itu, ayah kepada dua orang anak, Mohd Hazmi Ahmad, 32 berkata, beban perbelanjaan  anaknya yang memasuki tahun satu dan tadika amat dirasai namun ia tetap perlu dilaluinya.

Meskipun pertama kali membeli barangan keperluan sekolah anak, Hazmi tidak mahu membazir dan meletakkan anggaran RM300 untuk perbelanjaan kelengkapan sekolah.

Beliau yang juga kakitangan awam, membeli barangan keperluan sedikit demi sedikit ketika promosi agar tidak terbeban dengan kos.

“Bila ada promosi baru beli. Selalunya saya tinjau dulu kedai-kedai melakukan jualan murah,” katanya yang menyediakan lima pasang baju buat anaknya untuk sesi pagi dan petang.

Seorang  Pengurus Logistik, Michael Asirvadam, 38, berkata,  harga keperluan sekolah pada tahun ini meningkat selepas GST dilaksanakan.

Beliau yang mempunyai dua orang anak, terpaksa berkira-kira sebelum membeli keperluan sekolah anaknya.

“Barang semakin mahal, belum lagi dicampur dengan buku sekolah, dan kos pengangkutan lagi,” katanya.

Sementara bagi seorang ibu, Hasliza Mat Awang, 34, terpaksa mengehadkan perbelanjaan RM300 seorang bagi dua anaknya yang bersekolah di tahun satu dan dua tahun hadapan.

Katanya, pakaian lama yang masih elok, akan digunakan semula.

“Saya hanya operator kilang, jadi keperluan anak-anak terpaksa berjimat cermat. Anak-anak pun tidak kisah, memakai pakaian lama yang masih elok,” katanya. – SINAR