Persepsi Negatif Terhadap Ekonomi Negara Perlu Segera Dibetulkan – Mustapa

215
0
SHARE

KOTA BAHARU: Persepsi negatif terhadap ekonomi negara perlu segera diperbetul bagi menangkis kekeliruan yang wujud dalam kalangan rakyat, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, kerajaan mengenal pasti bahawa kedudukan ekonomi hari ini bukan satu krisis tetapi satu keadaan yang berpunca daripada persepsi dan sentimen.

“Umpamanya persepsi bahawa ekonomi negara kita terlalu bergantung kepada minyak. Ini tidak betul kerana 77 peratus daripada eksport kita terdiri daripada barangan pembuatan. Pergantungan kita kepada minyak, kelapa sawit dan getah cuma 23 peratus,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Mustapa berkata keadaan ekonomi berkemungkinan juga ada kaitan dengan politik namun faktor itu dilihat bersifat sementara.

Beliau berkata, ekonomi negara masih kukuh seperti yang diumumkannya dua hari lepas iaitu Malaysia mencatatkan pertumbuhan pelaburan baharu diluluskan sebanyak RM113.5 bilion pada separuh pertama tahun ini, dengan 81.1 peratus adalah pelaburan domestik. Dari segi pelaburan jangka panjang, beliau yakin ekonomi Malaysia akan terus berkembang.

“Yang penting, kita perlu menguruskan persepsi sebaik mungkin, termasuk memperbaiki komunikasi supaya rakyat memahami keadaan ini,” katanya. Sementara itu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas usahanya menambah kemudahan kesihatan di Kelantan.

Katanya, pembinaan Pusat Rawatan Harian Hospital Raja Perempuan Zainab II dengan kos RM180 juta dan pembinaan hospital di beberapa daerah lain memberi peluang rakyat menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih baik. Perdana Menteri dijadual merasmikan Pusat Rawatan Harian HRPZ II itu, esok.