Persediaan Awal RM8 Juta Hadapi Banjir – Rohani

113
0
SHARE

KUALA SELANGOR: Sejumlah RM8 juta diperuntukkan sebagai persediaan awal bagi menghadapi banjir di seluruh negara pada tahun ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata peruntukan itu merangkumi bekalan makanan serta keperluan asas kepada mangsa-mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

Sehubungan itu, beliau berkata sebagai inisiatif baharu, pihaknya memperkenalkan mini depoh di pusat-pusat pemindahan sementara termasuk pangkalan hadapan bagi memastikan bantuan seperti bekalan makanan, ubat-ubatan dan sebagainya dapat disalurkan secara langsung dan berterusan kepada mangsa.

“Kali ini (pada tahun ini) kita tambah mini depoh dan menambah baik pangkalan hadapan untuk memastikan bekalan kepada mangsa disalurkan tanpa sebarang gangguan seperti terputus hubungan dan sebagainya,” kata beliau.

Rohani bercakap kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan dan menyalurkan bantuan keperluan asas kepada 72 keluarga mangsa banjir di pusat penempatan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang, Ijok di sini, malam Rabu.

Turut hadir Anggota Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim serta Pegawai Daerah Kuala Selangor merangkap Pengerusi Bencana Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badlisza Mohd Noor.

Sehingga pukul 7 malam tadi, sebanyak 588 mangsa daripada 124 keluarga masih ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara di kawasan Kuala Selangor.

Daripada jumlah tersebut, pusat pemindahan SK Parit Mahang mencatatkan bilangan tertinggi mangsa banjir seramai 390 orang daripada 72 keluarga.