Perpaduan Wajib, Najib Sependapat Dengan Hadi

748
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berharap umat Islam supaya sentiasa bersatu dan tidak berpecah belah kerana ia merupakan perkara yang telah diperintahkan di dalam Al-Quran.

Menyifatkan ia sebagai satu kewajiban ke atas umat Islam, beliau berkata Malaysia tidak akan menjadi seperti negara luar yang lain untuk terjebak dalam kancah perbalahan.

“Perpaduan bukan pilihan sebaliknya ia adalah wajib.

“Saya mewakili kabilah saya, dan Tuan Guru mewakili kabilahnya, marilah kita berpegang kepada perpaduan dan kesatuan,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Perasmian Multaqa Serantau Al-Azhar Malaysia 2015 di sini, hari ini.

Sementara itu, Najib turut bersependapat dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Malaysia tidak memerlukan pakar dari Barat sebaliknya terus berpegang dengan Al-Quran dan Sunnah.

Mengulas lanjut katanya, kesatuan umat yang dijiwai oleh masyarakat Islam menjangkau pertimbangan bangsa, keturunan dan kewarganegaraan.

Justeru, jelasnya banyak perkara yang perlu diutamakan berlandas agenda perpaduan ummah.

“Dan itulah yang saya maksudkan semasa ucapan saya di PWTC tempoh hari (Perhimpunan Agung UMNO Ke-69), berkenaan menghulurkan silaturrahim dan ikatan ukhwah menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syiar dan syariat.

“Saya masih ingat pada tahun 2010, bagaimana kerajaan Malaysia membantu Tuan Guru Haji Hadi dalam melaksanakan amanah yang diberikan oleh Persatuan Ulama Sedunia bagi mendamaikan pihak bersengketa di Yaman.

“Inilah satu contoh praktikal bagaimana perpaduan yg merentasi ideologi,” katanya.