Perpaduan, 1MDB Bakal Jadi Tumpuan PAU Esok

93
0
SHARE

Foto Oleh: Khizairi Khizan

KUALA LUMPUR: Kepemimpinan, perpaduan dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bakal menjadi tumpuan pada Perhimpunan Agung UMNO 2015, esok. Isu berkenaan yang kerap dibangkitkan pada perhimpunan agung sayap Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri hari ini, menjadi landasan kepada ucapan serta perbahasan presiden parti.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berikrar untuk berdiri teguh di sisi Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, dan mendapat sokongan bergemuruh serta padu daripada perwakilan. Shahrizat berkata Wanita akan menjadi ‘tonggak kesatuan UMNO’.

Najib turut mengambil peluang menzahirkan penghargaan kepada Wanita atas sokongan mereka semasa beliau melancarkan Tabung Pejuang Nadi Rakyat pergerakan itu, selepas Shahrizat selesai memberi ucapan.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata pergerakan itu akan terus berganding bahu bersama kepimpinan parti untuk mendukung kebenaran dan membetulkan salah tanggapan terhadap parti itu.

Namun, beliau melahirkan kebimbangan berhubung beberapa isu yang mendepani UMNO, yang menyebabkan sokongan rakyat berkurangan, dan menurutnya perlu diselesaikan segera. Khairy, yang merujuk kepada siasatan terhadap 1MDB dan derma politik, berkata ‘Pemuda UMNO mengakui keikhlasan presiden dalam usahanya menyelesaikan isu-isu berkenaan’.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pula berkata, kesetiaan kepada pemimpin adalah satu tuntutan dalam Islam. Mengikut ajaran Islam, masyarakat perlu mentaati pemimpin selagi pemerintahannya tidak lari daripada tuntutan agama, katanya. Semasa perbahasan, para perwakilan Wanita menyuarakan sokongan kepada Najib dan menggesa semua anggota UMNO supaya turut berbuat demikian.

Seorang daripada mereka, Zaitun Anik dari Sabah, berkata Najib berhak mendapat sokongan padu mereka kerana beliau sentiasa membuat keputusan demi kepentingan rakyat.

Perwakilan Puteri pula menyentuh soal penggunaan media sosial secara bijak dan mengingatkan anggota pergerakan itu supaya tidak terpengaruh dengan sesetengah perkara yang dimuat naik dalam internet. Mereka juga memohon lebih ramai anggota Puteri dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Majoriti perwakilan Pemuda memberi fokus kepada pilihan raya umum akan datang dan peranan anggota pergerakan itu. Kemudian tibalah detik yang semestinya menggembirakan Perdana Menteri.

Walaupun Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut hadir pada perhimpunan itu, tiga perwakilan Pemuda seorang demi seorang bangkit melaungkan sokongan kepada Najib serta Khairy.

Ketiga-tiga perwakilan itu menerima tepukan gemuruh, dengan ada dalam kalangan perwakilan yang bertepuk tangan sambil berdiri.