Permohonan Cabar TPPA Ditolak

63
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman oleh tiga badan bukan kerajaan (NGO) untuk mencabar Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal Pejabat Peguam Negara yang mewakili Perdana Menteri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai responden.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah yang mewakili Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS MALAYSIA) dan Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Melayu Malaysia (TERAS) ketika ditemui berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas berpendapat ia tidak boleh memutuskan berhubung permohonan kebenaran berkenaan kerana perjanjian TPPA ditandatangani.

Pada 4 November tahun lalu, tiga wakil NGO berkenaan memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah penggantungan terhadap ketiga-tiga responden daripada meneruskan proses menandatangani TPPA hingga permohonan mereka diputuskan oleh mahkamah.

Pihak kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan.