Permatang Pauh Referendum Dinasti Anwar Ibrahim

222
0
SHARE

Sebagaimana slogan ‘Dari Permatang Pauh Ke Putrajaya’ yang dicanang pada PRK Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008 untuk menjadikan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pada tanggal 16 September 2008 maka PRK Permatang Pauh kali ini juga bukanlah sekadar satu pilihanraya biasa daripada 222 kerusi parlimen yang sedia ada.

Sama seperti PRK 2008 sebelumnya, PRK 2015 juga unik kerana memberikan kesan berpanjangan sehingga PRU-14 akan datang. Sepaling tidak, PRK kali ini akan membawa Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sekali lagi menjadi ketua pembangkang yang disandangnya selama sepenggal pada PRU-10 dan PRU-12 untuk tempoh singkat empat bulan sebelum memberikan Anwar laluan mudah untuk kembali ke arena politik perdana selepas hilang kelayakan bertanding akibat pemenjaraannya selama lima tahun.   

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institusi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan, PRK Permatang Pauh tidak patut dilihat semata-mata sebagai sebuah PRK di kawasan Permatang Pauh, Seberang Perai, Pulau Pinang. Beliau melihat PRK Permatang Pauh dalam kerangka yang lebih luas sebagai penentu kesinambungan dan kemungkinan Pakatan Rakyat (PR) sebagai satu gabungan untuk memecahkan hegemoni Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 yang dijangka selewat-lewatnya pada 2018.

“Yang paling penting ialah wujudnya satu persaingan politik dan kita mesti mewujudkan satu suasana yang mana ada kemungkinan parti pemerintah boleh diganti dengan parti yang lain dan parti lain itu pula boleh diganti dengan parti lain selepas itu. Persaingan adalah sesuatu perkara yang sihat,” ujarnya yang percaya bahawa PR perlu diperkukuhkan untuk menjadi kerajaan alternatif ataupun jika tidak sebagai pembangkang yang kuat.

Namun di sebalik pandangan optimisnya tentang masa depan PKR dan PR, pencalonan semula Azizah dalam PRK Permatang Pauh pada 7 Mei nanti dilihat sebagai langkah kebelakang. Jika menang, Azizah yang menjadi ahli parlimen Permatang Pauh sejak 1999 melalui tiga PRU dan dua PRK akan sekali lagi memimpin gabungan parti PKR-PAS-DAP tetapi dengan situasi yang genting berikutan keretakan PR yang menanti belah.

Azizah menggantikan Anwar yang telah menjadi ahli parlimen BN selama empat penggal sejak 1982 dan dua penggal sebagai ahli parlimen PKR – satu melalui PRK 2008 dan PRU 2013.

“Saya kecewa kerana PKR masih tidak dapat keluar dari belenggu pengaruh Anwar dan keluarga. Bagi saya ini sesuatu yang sangat tidak sihat… Model politik ini adalah model yang tidak stabil dan tidak sewajarnya diteruskan dalam budaya politik kita sekarang,” ulasnya mengenai kerusi parlimen yang kerap bertukar tangan antara pasangan suami isteri reformasi itu.

Tambahnya lagi pencalonan Azizah menampakkan masalah dalaman dan persaingan antara fraksi di dalam PKR masih belum selesai. Malah ia akan memanjangkan pertikaian kredibiliti Azizah yang mula tercalar sejak projek ‘Langkah Kajang’ dalam PRK Kajang pada 23 Mac tahun lalu yang gagal menjadikan beliau Menteri Besar Selangor. 

“Jika dilihat daripada nombor sebenar yang paling layak menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen ialah Lim Kit Siang kerana DAP mempunyai bilangan kerusi yang lebih tinggi. Sekiranya Wan Azizah menang tetapi tidak menjadi Ketua Pembangkang maka apakah tujuan beliau dipertandingkan di sana?” soalnya yang melihat legasi Anwar membebankan PR dengan isu Azizah di Kajang dan kini di Permatang Pauh.

Saiful kemudian turut mengkritik kempen PKR yang mahu menjadikan PRK Permatang Pauh sebagai satu referendum bagi menolak Cukai Barang dan Perkidmatan (GST) yang diperkenalkan kerajaan pada 1 April lalu.

“Sepatutnya isu referendum tidak dimainkan di Permatang Pauh kerana itu adalah kerusi yang selamat untuk PKR sebenarnya. Kalau kalah baru menjadi berita. Jika menang bukan berita. Jika mahu dijadikan isu maka ia sepatutnya digunakan di Rompin yang sebelum ini menyokong BN. Referendum perlu diuji di situ.

“Isu referendum terhadap GST dan 1MBD ini dimainkan di tempat yang salah. Sepatutnya Permatang Pauh memerlukan referendum sama ada pengundi PR mahu mengekalkan legasi dinasti Anwar sebagai ketua mereka atau mereka mahu mewar-warkan sistem politik yang baharu untuk ditawarkan kepada rakyat,” kritiknya yang mencadangkan pengundi PR mengundi BN sebagai tanda ‘undi protes’ jika tidak bersetuju dengan legasi Anwar di situ sejak 33 tahun lalu.

Sekalipun peluang cerah untuk menang, kegagalan Azizah untuk mengekalkan prestasi dengan kemerosotan majoriti undi yang tinggi akan dilihat sebagai penolakkan kepada legasi Anwar. Untuk rekod, Azizah pertama kali bertanding pada PRU 1999 dengan kemenangan majoriti 9,077 undi sebelum nyaris kalah dengan majoriti 590 undi pada PRU 2004 dan bangkit semula dengan majoriti 13,388 undi pada PRU 2008.

Apabila Anwar menggantikan Azizah dalam PRK 2008, majoriti meningkat kepada 15,671 undi apabila pengundi dijanjikan bakal perdana menteri dari PR. Namun majoriti tersebut kembali berkurangan kepada 11,721 pada PRU 2014 tahun lalu. Inilah cabaran terbesar Azizah untuk menarik semula undi simpati daripada kalangan 71,890 pengundi.

Mengakui jasa Azizah sangat besar kepada politik Malaysia pasca 1998 dalam menyatukan fraksi-fraksi di dalam PKR dan ideologi gabungan politik PR yang berbeza, Azizah berjaya membentuk gabungan pembangkang yang kuat menerusi PR dan Barisan Alternatif. Sebelum itu, gabungan pembangkang menerusi Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah hanya bertahan dalam PRU 1990-1996.

“Persoalan yang berlegar di kepala ramai orang adakah Wan Azizah akan berjaya menjalankan tanggungjawab tersebut sekiranya beliau bukan isteri kepada Anwar Ibrahim?” ulasnya mengenai pesona dan karisma Azizah yang semakin luntur dari bayangan ikon Presiden Corazon Aquino yang sering dikaitkan dengannya selepas September 1998.

Sama seperti Azizah seorang ‘tokoh tragedi’ yang muncul berikutan pemenjaraan suaminya, Aquino muncul sebagai Presiden Filipina dan wanita pertama dari Asia menjadi ketua negara apabila suaminya Senator Benigno Aquino II mati dibunuh.

Bezanya Aquino hanya memerlukan tiga tahun untuk bangkit sebagai wanita paling berkuasa di Filipina selepas pembunuhan suaminya yang tragik sedangkan Azizah selepas 17 tahun masih bergelut dengan percaturan politik yang penuh dramatik terutamanya berkait sosok dan bayangan Anwar.

“PKR perlu keluar dari kepompong tersebut… Mereka terlalu memaksa diri untuk fokus kepada isu seorang individu.” 

Sikap eksklusif dan pilih kasih PKR dalam merajai isu-isu Anwar dapat dilihat dalam isu terbaru tentang hak banduan untuk mengundi yang melibatkan kepentingan lebih 30,000 banduan di penjara yang tidak pernah diperjuangkan PKR sehinggalah Anwar dipenjarakan dan hilang kelayakan mengundi.

“Adakah banduan lain tidak mempunyai hak dan tidak layak untuk diperjuangkan hak mereka? Janganlah kita terlupa bahawa nama PKR ialah parti keadilan untuk rakyat sepatutnya dan bukan parti keadilan untuk Anwar semata-mata,” tegasnya yang mahukan PKR mengembalikan tumpuan kepada isu rakyat terbanyak dan tidak terperangkap dalam memperjuangkan isu-isu Anwar sejak 17 tahun lalu.

Oleh: Faizal Riduan