Perkhidmatan LRT Terjejas Pagi Ini

54
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Beberapa stesen perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) menghadapi kelewatan perjalanan pagi ini disebabkan gangguan bekalan elektrik dari Stesen Masjid Jamek ke Ampang Park.

Pihak Rapid KL meminta pengguna mencari alternatif pengangkutan untuk melancarkan perjalanan mereka.

“Kita menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik dari Stesen Sri Rampai ke Masjid Jamek untuk kemudahan pengguna,” kata syarikat itu dalam akaun Facebook, sebentar tadi.

Katanya, perkhidmatan tren alternatif dari Putra Heights disediakan untuk berpatah balik di Masjid Jamek.

Setakat ini, bekalan elektrik di antara Stesen Setiawangsa ke Damai sudah pulih.

“Pasukan teknikal masih meneruskan kerja untuk memulihkan bekalan elektrik bagi keseluruhan laluan,” katanya.

Pengguna diminta mencari bas dengan nombor pendaftaran WB 480 G dan WVN 5644 dari Masjid Jamek ke Stesen Datuk Keramat.

Rapid KL berkata, pihaknya akan terus memberikan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

Sementara itu, jurucakap Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) berkata, pihaknya sedang menjalankan kerja pembaikan berhubung masalah sistem semboyan dan komunikasi membabitkan laluan LRT di Stesen Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park.

“PRASARANA memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku dan berharap penumpang dapat menggunakan alternatif perjalanan lain sementara pihak kami menjalankan kerja pembaikan,” katanya.