Perhimpunan Bersih 4.0 Dibenarkan Dengan Syarat

212
0
SHARE
KUALA LUMPUR: ‘Perhimpunan Bersih 4.0’ yang dijangka diadakan di beberapa lokasi seluruh negara 29 Ogos ini, dibenarkan selagi ia tidak mengganggu ketenteraman awam, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Noor Rashid berkata ia bagaimanapun perlu dibuat mengikut lunas undang-undang sedia ada dan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Sekiranya perhimpunan itu didapati mendatangkan gangguan kepada masyarakat, mengganggu lalu lintas atau diadakan dengan sengaja atas tujuan tertentu seperti menghasut orang ramai untuk jatuhkan kerajaan, kita akan bertindak,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Pemandu Berhemah Sempena Op Selamat 7/2015 di sini, Rabu.

Akta Perhimpunan Aman 2012 antaranya memperuntukkan bahawa penganjur perlu memberi notis penganjuran kepada polis selewat-lewatnya 10 hari sebelum acara, yang mana denda sebanyak RM10,000 akan dikenakan sekiranya gagal berbuat demikian.

Di bawah akta itu, perhimpunan dilarang diadakan dalam linkungan 50 meter dari tempat ibadat, stesen janakuasa elektrik, stesen minyak, terminal pengangkutan, tadika dan juga sekolah.