Pergi Tanya Rahman Dahlan – Azmin

331
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali hari ini secara sinis meminta pihak yang mempertikaikan agensi Darul Ehsan Investment Group (DEIG) supaya merujuk kepada Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Kata Azmin DEIG adalah agensi kerajaan negeri yang memiliki dana sebanyak RM30 bilion dan akan digunakan untuk pelaburan.

Justeru, katanya, ia tidak boleh disamakan dengan agensi pelaburan tajaan kerajaan pusat, 1MDB.

“Duit RM2.6 bilion (yang dikaitkan dengan 1MDB) itu derma, (DEIG) ini pelaburan. Kalau itu pun tak faham jangan tanya saya. Pergi tanya Rahman Dahlan,” kata Azmin kepada media di Shah Alam hari ini.

Abdul Rahman sebelum ini menyifatkan isu DEIG itu lebih besar berbanding derma bernilai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Apabila RM2.6 billion, respon macam nak kiamat tapi bila RM30 bilion? Kami masih lagi melihat soalan-soalan yang dijawab dalam DUN Selangor tidak memuaskan hati bukan sahaja kepada kerajaaan persekutuan malah Pakatan Rakyat.

“Jumlahnya agak besar, RM30 billion, jauh lebih besar daripada RM2.6 bilion. Kalau tengok garis masa akaun media sosial pemimpin Pakatan Rakyat, mereka cuba mengalihkan isu ini,” kata Rahman Dahlan.

Menurut Rahman Dahlan lagi beliau pelik kerana sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri Selangor yang bernilai RM2 mempunyai kuasa menguruskan aset bernilai melebihi RM30 bilion. – MKINI