Peratusan Kenaikan Tol Yang Terlampau – PAS

76
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mengumumkan kenaikan harga tol di tahun rakyat masih bergelut menyesuaikan hidup akibat inflasi yang dicetuskan oleh GST, kejatuhan nilai ringgit dan penarikan subsidi, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Katanya, peratusan kenaikan tol kali ini agak melampau yang menurutnya ada lebuhraya yang menyaksikan kenaikan setinggi 80 peratus seperti SILK, 67 peratus (Akleh), 54 peratus (Besraya), 50 peratus (LKSA) dan Smart, manakala 10 lebuhraya lain menyaksikan kenaikan antara 17 hingga 44 peratus.

“Terhadap rakyat, kerajaan berani melaksanakan GST, memansuhkan subsidi dan memekakkan telinga terhadap kos sara hidup yang semakin naik.

“Mengapa kerajaan tidak menggunakan keberanian yang sama untuk menyemak kembali semua perjanjian konsesi serta cadangan kenaikan tarif tol sedangkan keuntungan syarikat konsesi tol terus melipatganda?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kini, katanya, dengan kebanyakan lebuhraya menjadi lebuhraya menggunakan sistem kutipan tol berelektronik, maka beban rakyat meningkat kerana terpaksa menanggung kos kad TouchNGo dan juga SmartTag.

“Dengan kenaikan kadar tol, apa pula faedah yang diberikan kembali kepada rakyat sebagai pelanggan lebuhraya?

“Tidak. Malah beban bertambah kepada pengguna lebuhraya kerana TouchNGo adalah jenis perniagaan pembayaran awal. Bayangkan ratusan ribu diperolehi melalui pembayaran awal ini namun pelanggan tidak memperolehi sebarang manfaat dari sistem tersebut,” katanya.

Oleh itu, tambahnya, PAS mencadangkan syarikat konsesi tol memberi rebat kepada pelanggan yang terpaksa buat pembayaran awal melalui sistem pembayaran SmartTag dan TouchNGo.

“Sebenarnya syarikat konsesi tol dan kerajaan tiada sebarang alasan ekonomi yang kukuh untuk menaikkan kadar tol. Apakah ada syarikat konsesi tol yang sedang mengalami kerugian meskipun perniagaan ini mempunyai risiko kerugian menghampiri sifar? Tidak.

“Yang lebih menyedihkan ialah fakta bahawa sebenarnya kerajaan sendiri mempunyai banyak saham pegangan di dalam syarikat konsesi ini. Dengan ‘advantage’ sebegini, kerajaan masih memilih untuk tidak memihak kepada rakyat,” tegasnya.