Perangi Penyakit Darjah Kebesaran Syok Sendiri

68
0
SHARE

Isu pemberian darjah kebesaran oleh individu yang mengaku dirinya Sultan atau Raja di negara sekali lagi mencetuskan polemik dalam kalangan rakyat di negara ini.

Terbaharu, Raja Noor Jan Shah Tuah memberikan darjah kebesaran kepada beberapa individu termasuk aktivis selebriti Abdul Rani Kulup, yang membolehkan mereka memakai gelaran ‘datuk’.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Malaysia mempunyai sembilan Raja-Raja dan empat Yang Dipertua Negeri. Kesemuanya adalah anggota Majlis Raja-Raja dan hanya anggota Majlis Raja-Raja sahaja yang berhak memberi darjah kebesaran dan gelaran di negara ini.

Bagaimanapun, pemberian darjah kebesaran oleh individu bukan anggota Majlis Raja-Raja sebenarnya menyindir Raja-Raja dan merendahkan martabat penerima sebenar yang berhak mendapat pangkat dan darjah kebesaran.

Rakyat yakin, Raja-Raja Melayu tentu tersinggung dengan tindakan segelintir individu tidak mempunyai rasa segan dan malu yang mengaku sebagai Sultan dan memberi gelaran.

Masakan tidak, Raja-Raja mempunyai amanah yang sangat berat dengan menjadi payung kepada rakyat Malaysia dan menjadi sumber keadilan dan kedaulatan tanah air.

Justeru itu, penganugerahan darjah kebesaran adalah hak Raja-Raja memberi pengiktirafan kepada individu yang banyak berjasa kepada negeri atau negara, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh negeri masing-masing.

Itu pun, adalah tidak mudah bagi Raja-Raja memberikan darjah kebesaran kepada individu yang dipilihnya kerana masih perlu melalui tapisan ketat daripada agensi penguatkuasa Persekutuan dan persetujuan majlis pembesar adat istiadat negeri selain terikat kepada kuota tertentu.

Begitu juga dengan negeri yang tidak beraja, yang mana Yang Dipertua Negeri akan mendapatkan nasihat daripada kerajaan negeri dan agensi penguatkuasa supaya dapat memastikan penerima darjah kebesaran yang benar-benar layak.

Pemberian darjah kebesaran oleh individu yang tidak tahu malu, syok sendiri dan mengenepikan undang-undang serta institusi Raja Berperlembagaan perlu dihentikan.

Yang jelas, individu yang suka mendakwa diri sebagai Sultan atau Raja adalah orang yang mengambil kesempatan dan cuba mengaut keuntungan.

Ketegasan Raja-Raja bersama pembesar adatnya amat diperlukan bagi memerangi mana-mana individu tidak bertanggungjawab memberi darjah kebesaran tidak diiktiraf demi melindungi institusi Raja-Raja.

Pada masa sama, kerajaan yang dilantik Raja-Raja harus mewujudkan undang-undang penguatkuasaan yang tegas supaya perkara itu tidak lagi berlaku.

Bagi individu yang dipilih menerima gelaran dan pangkat daripada Sultan atau Raja tidak diiktiraf ini, mereka hendaklah menolaknya kerana tindakan menerimanya adalah disifatkan sebagai mengenepikan Raja-Raja di negara ini.

Janganlah nanti sampai ada pihak membuat laporan polis kepada penerima darjah kebesaran syok sendiri itu atas dakwaan melancarkan perang terhadap Raja-Raja. – FMT