Perancis Mahu Darurat Selama Tiga Bulan

22
0
SHARE

PARIS: Presiden Perancis, Francois Hollande mahu tempoh darurat yang diisytiharkan selepas serangan di Paris diteruskan selama tiga bulan.

Tindakan itu bakal menyaksikan persidangan iklim pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berlangsung dalam keadaan darurat dengan kawalan keselamatan lebih ketat.

Menurut laporan agensi berita AFP yang memetik sumber, Presiden Perancis itu memaklumkan bahawa beliau mahu pengisytiharan darurat diteruskan.

Bagaimanapun, sebarang lanjutan pengisytiharan darurat lebih 12 hari memerlukan kelulusan Parlimen.

Persidangan iklim PBB yang akan berlangsung selama 12 hari, bakal menyaksikan kehadiran berpuluh-puluh ketua negara pada 30 November nanti.

Perancis sebelum ini mengumumkan darurat sebaik siri keganasan berlaku.

Selain itu, sempadan negara turut ditutup bagi tujuan keselamatan dan orang ramai diminta tidak keluar rumah susulan serangan bersiri paling buruk pernah berlaku di negara itu.

Jumaat lalu, sekurang-kurangnya 129 orang maut dalam beberapa siri tembakan serentak di bandaraya Paris, termasuk letupan di luar Stadium Nasional di mana satu perlawanan bola sepak sedang berlangsung.

Polis berkata kebanyakannya menjadi korban di Dewan Konsert Bataclan di tengah Paris, kira-kira 200 meter dari bangunan bekas ibu pejabat Charlie Hebdo di mana serangan anggota kumpulan militan berlaku pada Januari lalu.