Penyokong Anthony Berhimpun Di Luar Hospital

30
0
SHARE

KOTA KINABALU: Lebih 100 penyokong Parti Warisan Sabah berhimpun di luar perkarangan Hospital KPJ di Damai dekat sini selepas mengetahui naib presidennya, Datuk Peter Anthony akan dibebaskan dengan jaminan.

Namun, mereka diberitahu bahawa Anthony hanya akan dibenarkan untuk ikat jamin pada Jumaat apabila perintah remannya tamat.

Timbul kekeliruaan mengenai tempoh berakhirnya perintah reman itu dan peguam Anthony telah pergi ke mahkamah untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua Jr kemudian dimaklumkan mengenai tarikh tamat sebenar perintah reman itu dan memberitahu penyokong yang berhimpun di luar perkarangan hospital pada Khamis.

Lorreto juga memberitahu penyokong bahawa Anthony akan terus berada di dalam wad kerana beliau kurang sihat tetapi keadaannya stabil.

“Jadi kita semua tidak boleh naik ke atas dan melawat beliau.

“Mereka yang mahu melawat beliau mungkin perlu datang dalam jumlah yang kecil mengikut peraturan hospital,” kata Lorreto.

Loretto turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang hadir termasuk dari Tenom dan Kota Marudu.

Ahli parti dan sanak-saudara Anthony berkumpul di luar perkarangan hospital sejak malam Rabu.

“Anthony amat berterima kasih kepada anda semua yang berada di sini hari ini,” katanya.

Loretto juga berterima kasih kepada polis yang berada di lokasi dan memberitahu penyokong Anthony bahawa mereka hanya menjalankan tugas dan bukan untuk menahan sesiapa.