Penyertaan Saifuddin Kuatkan PKR

118
0
SHARE

Oleh: Khizairi Khizan

Foto: Shaiful Nizam

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sentiasa membuka ‘pintu’ kepada sesiapa sahaja menyertai parti itu asalkan komited kepada agenda untuk perubahan, demikian kata Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, penyertaan Datuk Saifuddin Abdullah dalam PKR menunjukkan bahawa krisis politik dan kegawatan ekonomi yang melanda Malaysia hari ini mendorong rakyat dan pemimpin berfikir betapa perlunya mengambil langkah berani dan membuat anjakan dalam pendirian untuk menyertai gerakan yang menerajui perubahan.

“Pada hari ini, kami berasa gembira dan mengalu-alukan penyertaan Datuk Saifuddin Abdullah ke dalam keluarga besar Keadilan.

“Penyertaan beliau sudah tentu akan memperkukuhkan usaha Keadilan untuk menggembleng perpaduan dan kekuatan rakyat demi perubahan dan pembaharuan,” katanya dalam sidang media yang diadakan di ibu pejabat parti tersebut, hari ini.

Dr Wan Azizah menjelaskan lagi, penyertaan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu juga akan menguatkan kedudukan PKR dan Pakatan Harapan dalam memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat.

“Penyertaan beliau bertepatan dengan strategi  parti ini untuk memberi fokus kepada isu-isu khusus masyarakat Melayu dan Bumiputra agar kebajikan mereka akan terbela.

“Saya bersyukur dengan kehadiran beliau yang akan dapat bersama-sama mendepani isu-isu Melayu dan Bumiputra ini dengan pimpinan PKR yang lain,” katanya lagi.