Penyerang Bom Jakarta Hubungi Malaysia

146
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Seorang penyerang bom di Jakarta pada 14 Januari lalu membuat panggilan kepada satu talian di negara ini sebelum kejadian itu, kata Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Mohd Harun.

Beliau berkata maklumat itu diperoleh berdasarkan siasatan forensik yang dilakukan polis Indonesia.

“Kami (polis Malaysia) sedang menyiasat dapatan baru ini,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 14 Januari lalu, berlaku serangan bom dan senjata api di Jalan MH Thamrin yang menyebabkan tujuh orang termasuk lima penyerang terbunuh sementara 30 orang yang lain cedera parah. Lima daripada mangsa yang cedera adalah anggota polis.

Sehari kemudian seorang daripada mangsa yang cedera itu dilapor meninggal dunia.

Ketua Polis Jakarta, Tito Karnavian dilapor sebagai berkata pihaknya percaya pengasas kumpulan Katibah Nusantara, Muhammad Bahrun Naim yang merupakan ketua kumpulan pengganas Asia Tenggara menjadi perancang serangan tersebut.

Namun Mohamad Fuzi berkata berdasarkan siastan, tiada penyerang di Jakarta merupakan rakyat Malaysia.

Mengenai kumpulan Daesh, beliau berkata polis mengenal pasti bahawa terdapat komunikasi antara elemen Daesh rakyat Malaysia dan rakyat Malaysia di Syria.

“Apa yang kami dapati sekarang ialah terdapat komunikasi yang dibuat rakyat Malaysia di sini kepada rakan mereka yang juga rakyat Malaysia di Syria,” katanya.