Penularan Kepialu Terkawal, Vaksin Mencukupi – Subramaniam

59
0
SHARE

JOHOR BAHRU: Orang ramai diminta agar tidak panik dengan penularan demam kepialu atau tifoid yang dilaporkan berlaku di Lembah Kelang ketika ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, penularannya terkawal dan dipantau rapat pihak kementerian dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

”Kita sudah menjalankan pemantauan bersama terutama di kawasan penempatan pekerja asing.

”Demam kepialu ialah wabak yang boleh dirawat dan kita juga mempunyai vaksin yang cukup bagi menangani perkara itu,” katanya selepas merasmikan Konvensyen QA Kebangsaan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai perlu memberi perhatian kepada kebersihan makanan dan minuman kerana bakteria salmonella tyhpi yang menjadi punca kepada demam kepialu mampu merebak melaluinya.

Sehubungan itu, katanya, penekanan terhadap kebersihan adalah penting bagi mengelak jangkitan demam kepialu.

Kementerian Kesihatan semalam melaporkan, sejumlah 32 kes demam kepialu dilaporkan di Kuala Lumpur bagi tempoh di antara Ogos sehingga 18 Oktober.

Titiwangsa mencatatkan bilangan kes tertinggi dengan 16 kes, diikuti Kepong dengan lapan kes dan masing-masing empat kes di Lembah Pantai dan Cheras.

SHARE
Previous articlePAC Tiada Kuasa Pecat Tony Pua – Hasan Arifin
Next articlePembangkang Tetap Bawa Usul Undi Tidak Percaya