Penghijrahan Beramai-Ramai Lumpuhkan PAS Kawasan Seluruh Negara – Amanah

794
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Lebih separuh PAS kawasan di seluruh negara kini mengalami kekosongan dalam pimpinan mereka akibat perpindahan kepada parti baharu dibentuk kumpulan serpihan, Parti Amanah Negara (Amanah), kata Setiausaha Agung Amanah Anuar Tahir (gambar, kanan).

Katanya, penghijrahan beramai-ramai daripada PAS kepada Amanah itu, yang terbesar ialah di Johor, di mana beliau mendakwa semua kecuali “satu atau dua” kawasan yang masih mempunyai pemegang jawatan mencukupi untuk meneruskan parti.

PAS kawasan, atau bahagian, adalah peringkat kedua parti dan dibentuk berdasarkan kawasan Parlimen.

Parti Islam konservatif itu mempunyai satu kawasan dalam setiap satu daripada 165 kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia dan beberapa kerusi di Malaysia Timur.

Anuar berkata, Johor mempunyai paling banyak Amanah bahagian, diikuti Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan butiran mengenai berapa banyak bahagian Amanah wujud di setiap negeri tetapi mendakwa keahliannya semakin bertambah.

“Sebagai contoh di Selangor, bahagian Kota Raja sudah mempunyai 1,500 ahli. Di Johor, PAS kawasan hampir lumpuh apabila pemimpinnya meninggalkan parti,” Anuar memberitahu satu forum di Kuala Lumpur malam tadi.

Beliau berkata berikutan penubuhan bahagian itu, Amanah akan membentuk cawangan, peringkat yang paling rendah dalam parti. – INSIDER