Penggantungan Rayani Air Adalah Mungkin – Tiong Lai

149
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan boleh menggantung syarikat penerbangan yang baharu beroperasi, Rayani Air jika aduan terus dibuat terhadapnya.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kementerian melihat semua aduan berkaitan syarikat penerbangan itu dengan serius.

“Kita akan memantau rapat Rayani. Jika lebih banyak isu berlaku, kita pasti akan mengambil tindakan.

“Kita juga boleh menggantung mereka kerana tidak mengikut arahan. Apabila kita menerima aduan, kita akan mengambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata kementerian telah mengeluarkan amaran kepada syarikat penerbangan patuh syariah itu berikutan insiden di mana penerbangan dibatalkan tanpa amaran dan tiada penggantian disediakan.

“Mereka perlu mematuhi peraturan-peraturan Jabatan ¬†Penerbangan Awam (DCA).

“Jika terdapat lebih banyak aduan, kita boleh merujuk kepada Suruhanjaya Penerbangan dan akan mengambil perhatian terhadap semua aduan sektor ekonomi,” katanya.

Tambahnya, pelanggan boleh membuat aduan kepada suruhanjaya itu jika perkhidmatan Rayani Air tidak mengikut peraturan ditetapkan.

Tiong Lai juga berkata kementerian akan memeriksa dakwaan pas masuk tulisan tangan dikeluarkan oleh syarikat penerbangan itu.

“Kami akan menyiasat mengapa mereka menggunakan pas bertulisan tangan sedangkan ia boleh dikeluarkan tanpa kertas dan orang ramai menggunakan telefon bimbit mereka untuk mendaftar masuk.

“Kita perlu menyiasat kes ini kerana ia boleh menjadi ancaman keselamatan,” katanya.

Beliau berkata syarikat penerbangan itu sepatutnya mengeluarkan pas masuk yang betul.

Tiong Lai yang juga Ahli Parlimen Bentong, berkata semua syarikat penerbangan mempunyai sistem KPI tahunan dan kementerian akan bertindak terhadap Rayani Air jika aduan seterusnya adalah berkaitan keselamatan atau sekuriti.