Pengesahan Flaperon Satu Kejayaan Besar – MAS

136
0
SHARE
KUALA LUMPUR: Pengesahan serpihan sayap yang ditemui di Pulau Reunion di Lautan Hindi adalah milik MH370 merupakan satu kejayaan besar untuk menyelesaikan kehilangan pesawat itu, kata Malaysia Airlines (MAS).

“Kami menjangka dan berharap lebih banyak objek akan ditemui bagi membantu menyelesaikan misteri ini,” tambah MAS dalam satu kenyataan.

MAS berkata anggota keluarga penumpang dan anak kapal sudah dimaklumkan dan “kami melahirkan rasa simpati yang teramat kepada mereka yang terlibat.”

“Malaysia Airlines juga ingin menyampaikan rasa sedih yang teramat kepada keluarga dan sahabat penumpang dalam penerbangan MH370 berikutan berita serpihan sayap yang ditemui di Pulau Reunion pada 29 Julai adalah sah milik MH370,” katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata keutamaan mereka sekarang adalah untuk terus memberikan maklumat terkini kepada keluarga dan bekerjasama penuh dengan pihak berkuasa terlibat untuk menyiasat tragedi itu.