Pengerusi PAC Baharu Jamin Siasatan 1MDB Diteruskan

29
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pengerusi baharu Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin hari ini memberi jaminan akan meneruskan siasatan jawatankuasa di bawah Parlimen itu berhubung syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini ditangguhkan.

Hasan pada sidang media pertamanya sebagai pengerusi PAC di lobi Parlimen hari ini berkata, sebaik sahaja Jawatankuasa Pemilihan Parlimen melantik ahli-ahli jawatankuasa itu, pihaknya akan segera memanggil mesyuarat untuk tujuan berkenaan.

“Kita akan teruskan… selepas ahli PAC dilantik secara rasmi, saya akan memanggil mesyuarat PAC seberapa segera untuk meneruskan tugas-tugas seperti yang diamanahkan Parlimen untuk melihat,” katanya, kepada pemberita.

Beliau berkata, pemilihan ahli baharu itu perlu dilakukan susulan insiden yang berlaku dalam PAS dan penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah).

“Parlimen sebentar tadi meluluskan usul melantik saya pengerusi PAC baharu menggantikan Datuk Nur Jazlan (Mohamed).

“Oleh kerana ada PAC ditentukan parti dalam Parlimen, jawatankuasa pemilih akan bersidang dan melantik ahli PAC.

“Oleh kerana ada berlaku isu dalam PAS umpamanya, sudah tentu akan ada perubahan ahli,” katanya.