Pengebom Berani Mati Isis Malaysia Bunuh 33 Orang

733
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Dua pengebom berani mati Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) Malaysia membunuh lebih 30 orang dalam 2 serangan berasingan di Syria dan Iraq minggu lepas, lapor New Straits Times (NST) hari ini.

Akhbar berbahasa Inggeris itu melaporkan, Mohd Amirul Ahmad Rahim meletupkan bom yang diletakkan di dalam keretanya semasa perbalahan di kubu kuat Isis, Raqqa, pada 29 Disember sehingga membunuh 29 pejuang Kurds.

Manakala Mohamad Syazwan Salim meletupkan jaket yang dipadatkan dengan bom bersama beberapa lagi pengebom berani mati, berdekatan pusat latihan polis di pengkalan tentera Speicher di Tikrit, Iraq, membunuh 12 anggota polis dan mencederakan 20 orang awam pada 3 Januari, lapor NST.

Amirul yang berasal dari Terengganu meninggalkan keluarganya untuk menyertai Isis di Syria pada Oktober 2014, dan mengambil nama samaran Abu Uqashah Malizi, kata NST yang memetik sumber.Lelaki berusia 26 tahun itu terbunuh apabila Isis melancarkan serangan terhadap gabungan ke Syrian Democratic Forces, berdekatan dengan Ain Issa.

Amirul di antara sekurang-kurangnya 16 pejuang Isis yang terbunuh semasa serangan daripada pakatan Kurdish People’s Protection Units (YPG) dan pejuang Arab.

Serangan ke atas Raqqa merupakan salah satu operasi besar terhadap Isis, lapor NST.

Syazwan sebelum ini menyasarkan pihak polis dari daerah utara Nineveh, yang sedang menjalani latihan.

Lelaki berusia 31 tahun itu, bersama pengebom lain, ditembak sasaran mereka.

Syazwan meninggalkan kampungnya di Selangor bersama adiknya Muhamad Shazani Mohd Salim, 28, pada 23 September, 2014, melalui Istanbul ke Turki untuk menyertai Isis.

Shazani yang dikenali sebagai Abu Aydan, dilaporkan awalnya bekerja sebagai pencuci sebelum direkrut sebagai penembak hendap dan pengebom berani mati.

Beliau terbunuh dalam misi berani mati pada 18 September tahun lepas di Bayji, utara Iraq, semasa pertempuran dengan angkatan Iraq.

Sumber NST mengatakan adik-beradik itu dilatih di penjara Khatibah Nusantara di Syria bagi misi berani mati mereka.

Kematian mereka menjadikan jumlah rakyat Malaysia yang terbunuh berkaitan dengan Isis kepada 17.

Enam daripadanya merupakan pengebom berani mati, manakala yang lain terbunuh dalam peperangan. – INSIDER