Penduduk Pelbagai Agama Berhimpun Sokong Suu Kyi

12
0
SHARE

YANGON: Puluhan ribu orang memenuhi sebuah padang bola sepak, di sini sebagai tanda penyatuan di sebuah negara yang dicemari keganasan etnik Muslim Rohingya di sempadan barat.

Sami Buddha, biarawati Kristian, penganut Hindu dan Muslim, menyertai perhimpunan yang menunjukkan sokongan terhadap cara pemimpin Aung San Suu Kyi mengendalikan krisis di Rakhine.

Rantau sempadan itu bertukar medan pertempuran ganas akhir Ogos lalu selepas pemberontak Rohingya menyerbu pos polis, mencetuskan tindakan balas tentera yang mendorong lebih setengah juta minoriti Islam itu lari ke Bangladesh.

Perpindahan besar-besaran Rohingya mengejutkan dan membimbangkan dunia dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menuduh tentera Myanmar melancarkan kempen pembersihan etnik ke atas minoriti Islam itu.

Namun, konflik itu menerima pandangan berbeza di Myanmar. Ramai penduduk yang majoriti adalah penganut Buddha membenci Rohingya serta menyalahkan mereka kerana menjadi punca huru-hara.

Ramai peserta perhimpunan membawa potret Suu Kyi atau memakai baju memaparkan wajahnya.

Suu Kyi menarik kritikan tajam antarabangsa kerana gagal menyuarakan perasaan simpati terhadap kebanjiran Rohingya yang berpusu-pusu keluar dari negaranya.

Ketika bekas aktivis demokrasi itu gagal mengawal tentera, beliau dibidas kumpulan hak asasi kerana tidak secara terbuka mengutuk tindakan keras terbabit. – AFP

SHARE
Previous articleTiga Pekerja Binaan Cedera Akibat Letupan Bom Lama
Next articleAmar Singh Dilantik Pengarah JSJK Bukit Aman