Pendekatan Keusahawanan Perlu Dalam Pendidikan Tinggi – Sultan Nazrin

4
0
SHARE

SERI ISKANDAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pembaharuan terhadap pendekatan keusahawanan sangat diperlukan dalam sektor pendidikan tinggi Malaysia yang ketika ini pantas berubah.

Baginda bertitah, untuk mencapai perubahan yang radikal itu menjadi sesuatu yang perlu, lebih banyak pendekatan berasaskan keusahawanan ke arah pendidikan tinggi perlu dilaksanakan.

“Antaranya adalah memasukkan peranan yang lebih besar sektor industri dalam melaksanakan kerjasama awam-swasta bagi melakar dinamisme dan inovasi yang lebih baik yang ada dalam sektor swasta,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Titah Diraja Sultan Nazrin Shah Bertajuk Membina Ekosistem Pendidikan Yang Dinamik dan Inklusif Sempena Sambutan 20 Tahun Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Dewan Canselor UTP di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abd Puhat Mat Nayan dan Timbalan Naib Canselor UTP, Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib.

Titah baginda, ada beberapa risiko yang dikaitkan dengan strategi berkenaan yang akan memberikan asas tekanan antara matlamat sebenar pendidikan awam dan keuntungan yang menjadi matlamat utama dalam memacu sektor swasta.

“Tetapi pada ketika ini perlu untuk kita membawa sedikit risiko dan semangat keusahawanan dalam menghadapi tugasan mencabar bagi melaksanakan pembaharuan dalam pendidikan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, selain itu, pembelajaran sepanjang hayat adalah satu tren utama ketika ini yang perlu ada dalam mengubah keadaan dunia yang tidak dijangka.

Baginda bertitah, sudah ada beberapa inisiatif dalam perkara itu dilaksanakan di Malaysia sebagaimana dinyatakan termasuk usaha mengambil kira pengalaman pelajar terdahulu dan kaedah penilaian yang menjangkaui peperiksaan.

“Hubungan yang semakin berkembang membabitkan pendidikan tinggi dan pihak industri turut menyumbang kepada kesesuaian kursus yang disampaikan.

“Ia juga membantu mempromosikan akses kepada pendidikan tinggi di luar demografi yang masih muda ketika ini,” titah baginda.

Titah Sultan Nazrin, beberapa negara lain turut membuat pelaburan yang besar dalam meneruskan pembelajaran bagi golongan dewasa.

“Singapura sebagai contoh, sudah pun membangunkan sebuah institusi baharu yang dikhususkan kepada bidang berkenaan iaitu SkilssFuture Singapore.

“Objektif penubuhannya adalah untuk membimbing rakyat pelbagai peringkat kerjaya terhadap pendidikan yang disasar dan program berkaitan kemahiran,” titahnya.