Pendarahan Otak: Hanipa Maidin Selamat Jalani Pembedahan

302
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin selamat menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur malam tadi kerana mengalami pendarahan otak.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayub memaklumkan Hanipa menjalani pembedahan kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

“Hanipa kini berada dalam ICU dan marilah kita berdoa agar beliau segera sembuh,” katanya.

Hanipa dikejarkan ke hospital selepas pengsan semasa menghadiri sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Pada kejadian kira-kira 5.30 petang itu, Hanipa dikatakan secara tiba-tiba mengalami pening kepala dan kelihatan tidak bermaya.

Malaysiakini melaporkan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran berkata Hanipa sebelum itu memberitahu bahawa beliau berasa loya dan lemah.

“Semua orang bangun masa rehat (kecuali beliau).

“Dia hanya terduduk dan tidak boleh bangun, (Ahli Parlimen Klang) Charles Santiago dan saya mendekati dan menyapanya tetapi beliau tidak jawab,” katanya.

Hanipa merupakan anggota parlimen Sepang sejak 2013 di bawah tiket PAS, namun beliau menyertai Amanah tahun lalu. – AWANI