Pemuda UMNO Sokong Khairy Bertanding Naib Presiden

12
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Perwakilan Pemuda UMNO memberi bayangan akan memberikan sokongan penuh jika Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin, memutuskan untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti akan datang.

Sokongan itu dinyatakan secara tidak langsung ketika Perwakilan Pemuda UMNO Johor, Azman Jaafar, mengulas mengenai cadangan Khairy supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

“Saya selaku Ketua UMNO Pasir Gudang menyahut seruan KJ (Khairy Jamaludin) bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

“Ini bermakna ada lagi kekosongan kerusi bagi jawatan Naib Presiden. Jadi, masing-masing fikir sendirilah.

“Mudah-mudahan perjalanan KJ dalam memimpin perjuangan Pergerakan Pemuda ini akan diteruskan pada kelangsungan yang lebih tinggi,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Ucapan Azman itu disahut tepukan dan sorakan lebih 900 perwakilan, selain ada yang melaungkan ‘sokong’ sebagai tanda bersetuju.

Terdahulu, Ketua UMNO Pasir Gudang itu berkata, Pemuda UMNO Johor menyokong saranan Khairy yang mahu pemimpin dalam kalangan sayap parti itu diangkat dan diberi ruang menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun, beliau mengingatkan jika ada pemimpin Pemuda UMNO yang dipilih, mereka perlu benar-benar bersedia serta menjalankan tugas dan sentiasa turun padang bertemu akar umbi.

“Kita juga jangan ‘bertembak’ (bertelagah) sesama sendiri. Saya pasti ada antara kita yang memiliki pergeseran peribadi, namun menjelang PRU-14, pastikan kita rapatkan saf untuk memperjuangkan UMNO.

“Mudah-mudahan, perjalanan kelangsungan UMNO membela maruah orang Melayu dapat kita kekalkan pada masa depan serta menang pada PRU-14,” katanya.