Peminjam PTPTN Harus Tampil Sebelum Tindakan Penguatkuasaan Diambil

56
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Seramai 662,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mempunyai masalah untuk menjelaskan hutang mereka setakat Disember tahun lalu.

Menurut Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, kumpulan peminjam itu digesa untuk tampil mendapatkan khidmat nasihat pengurusan kredit sebelum tindakan tegas diambil.

Menurut Shamsul, peminjam boleh menerima khidmat nasihat melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Katanya, ia bagi membantu peminjam menstrukturkan semula membiayai ansuran bulanan mengikut kemampuan mereka.

“PTPTN akan terus mengamalkan sikap mesra pelanggan tetapi jika kita tidak mempunyai pilihan lain, maka kita terpaksa mengambil tindakan penguatkuasaan sebagaimana yang diambil oleh insitusi kewangan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara PTPTN dengan AKPK di Menara PTPN di sini pada Isnin.

Seramai 1.8 juta peminjam PTPTN masih belum membuat pembayaran balik dengan jumlah hutang mencecah RM15.3 bilion sehingga Disember 2015.

Sepanjang tempoh itu, PTPTN telah berjaya mengutip RM7.1 bilion daripada 1.2 juta peminjam, iaitu hampir 47 peratus.