Pemimpin Veteran UMNO Ada Agenda Tersendiri – Shahrir

234
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Seorang wakil rakyat kanan Barisan Nasional (BN) menuduh sekumpulan pemimpin veteran Umno memenuhi agenda peribadi masing-masing ketika bersepakat menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, awal minggu ini.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN (BBNBC) Tan Sri Shahrir Abdul Samad, memetik sebagai contoh, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini membangkitkan pelbagai isu hanya untuk menggulingkan Najib.

Situasi sama juga turut melibatkan beberapa pemimpin Umno lain, termasuk bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ahli Parlimen veteran Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, lebih dikenali sebagai Ku Li, yang tidak berpuas dengan kepimpinan Najib, kata Shahrir.

“Kita tak boleh melarang mereka untuk buat apa-apa sebab kumpulan ni ada kepentingan tersendiri, jadi sesetengah kumpulan ini menterjemahkan sesuatu mengikut kepentingan mereka.

“Kalau Tun, sebab nak Najib ni susah,” kata Shahrir merujuk kepada kritikan Dr Mahathir terhadap perdana menteri.

“Muhyiddin pula mungkin matlamatkan sesuatu, Ku Li pun lain. Jadi, kita fahamlah kepentingan masing-masing. Semuanya ikut kepentingan mereka tersendiri. Dan itulah politik,” beliau dipetik sebagai berkata di portal berita BNBBC.

Pada Isnin, Dr Mahathir mengetuai sidang akhbar sekumpulan 7 pemimpin kanan BN mengkritik tindakan Putrajaya menggunakan undang-undang keselamatan baharu, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012 terhadap pengkritik kerajaan.

Sidang akhbar itu dihadiri Ku Li, Muhyiddin, Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal, bekas setiausaha agung Umno Tan Sri Sanusi Junid dan bekas presiden MCA Tan Sri Ong Tee Keat.

Seorang lagi bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik turut menyokong 6 pemimpin berkenaan, walaupun beliau tidak hadir pada sidang media itu kerana berada di luar negara.

Semua 7 pemimpin itu mengkritik Najib dan dasarnya, termasuk skandal terkini membabitkan negara, terutama derma RM2.6 bilion dari penderma negara Timur Tengah ke akaun bank peribadi Najib dan pada masa sama, syarikat pelaburan yang diilhamkannya, firma 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berdepan pelbagai siasatan atas tuduhan salah guna kewangan.

Shahrir berkata pemimpin seperti Muhyiddin dan Shafie sepatutnya lebih kenal Najib kerana kedua-dua pemimpin Umno itu pernah bekerja rapat dengan perdana menteri yang juga presiden Umno itu.

“Mereka lebih rapat dengan Najib berbanding saya sendiri. Sepatutnya (mereka) lebih kenal dan memahami Najib, mereka ini rapat (dalam parti dan Kabinet sebelum ini).

“Susahlah kalau kita tak percaya kawan, dulu (mereka) berjuang bersama, Shafie dan Muhyiddin ni dari team A, kalau dah team A tak faham, kenapa nak kena percaya cakap orang luar? Apakah sebab ada orang cucuk dekat luar?” beliau dipetik sebagai berkata.

Ahli Parlimen Johor Baru itu percaya Najib tahu apa yang dilakukannya, dan berkata mustahil jika pemimpin tertinggi itu tidak sayang parti dan sanggup melihat ia musnah.

Katanya, Najib sendiri mahu isu 1MDB diselesaikan secepat mungkin, sementara dana RM2.6 bilion itu bukan untuk kegunaan peribadinya, tetapi parti. – INSIDER